M'sia hilang hasil RM300 juta setiap satu dolar harga minyak jatuh
Pada setiap satu dolar harga minyak jatuh, M'sia hilang hasil RM300 juta
Malaysia akan kehilangan RM300 juta bagi setiap kejatuhan harga minyak mentah dunia sebanyak AS$1 setong, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed.
Beliau berkata bagi sebuah negara yang bergantung agak besar kepada hasil petroleum untuk menjana hasil kerajaan, sudah tentu Malaysia akan turut terkesan dengan kejatuhan harga bahan bakar itu.
"Dalam hal ini, kerajaan menjangkakan bagi setiap kejatuhan harga minyak mentah dunia sebanyak AS$1 setong, pendapatan negara daripada hasil petroleum akan berkurangan kira-kira RM300 juta.
"Kejatuhan harga minyak dunia di bawah AS$25 setong (daripada AS$62 setong yang dianggarkan semasa pembentangan Belanjawan 2020) memberi impak yang bukan kecil kepada pendapatan negara disebabkan dividen Petronas yang merosot dan cukai pendapatan petroleum (petroleum income tax) semakin berkurangan.
"Kejatuhan harga minyak yang mendadak kali ini adalah disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu bekalan minyak mentah yang terlalu banyak di pasaran (oversupply), dan permintaan yang rendah (low demand)," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.
Jelasnya, kegagalan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (Opec) pada awal Mac 2020 dalam mencapai resolusi menyebabkan berlakunya lambakan bekalan minyak mentah di pasaran.
Dalam masa sama, katanya pertumbuhan permintaan minyak mentah dunia turut berada pada kadar yang amat lemah hari ini akibat ekonomi dunia yang merudum ekoran penularan Covid-19.
Tok Pa yakin mampu tangani cabaran ekonomi gawat
Pada 23 Mac lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengulangi kebimbangan beliau mengenai keadaan kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19 yang disifatkannya lebih teruk daripada krisis kewangan 1997, berkata "kita semua sedang berhadapan dengan malapetaka."
Jelasnya, negara menghadapi cabaran besar kerana pergantungan belanjawan terhadap hasil industri minyak dan gas.
"Di Malaysia, industri petroleum tidak besar. Tetapi ia penyumbang besar kepada hasil kerajaan...
"Pakej rangsangan (ekonomi) melibatkan kenaikan perbelanjaan kerajaan dan pengurangan hasil cukai," katanya.
Keuntungan kerajaan, kata Mahathir akan merosot sehingga 50 peratus kerana penurunan harga minyak dunia, memandangkan belanjawan 2020 dibuat bersandarkan jangkaan hasil Petronas pada harga AS$63 setong.
Tambahnya, ini bermakna hasil kerajaan mungkin akan berkurangan sebanyak RM30 bilion.
Kemudian, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dengan peruntukan sebanyak RM250 bilion.
Melalui suntikan dana yang bertujuan menampan dampak buruk kegawatan ekonomi akibat Covid-19 itu, kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat melalui Bantuan Prihatian Nasional (BPN).
Bantuan yang bertujuan untuk merancakkan ekonomi domestik itu buat pertama kalinya turut diberikan kepada golongan M40 selain memutuskan segala projek mega dirancang akan terus dilaksana.
Dalam pada itu Mustapa, sebagaimana jangkaan bekas perdana menteri turut meramalkan Malaysia akan mengalami krisis ekonomi yang mungkin lebih teruk berbanding krisis kewangan 1998-1999.
Industri penerbangan terjejas teruk
"Malah, bagi negara kita, saya berpendapat ia mungkin lebih teruk daripada krisis kewangan 1998-1999.
"Namun, saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh tokoh-tokoh dalam kerajaan dan swasta serta ahli akademik Malaysia, kita mampu untuk menangani cabaran ini," katanya.
Mustapa juga berkata, industri penerbangan paling teruk terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintahan kawalan pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, jelas beliau sektor ini telah mengalami pertumbuhan yang lembap sebelum pandemik Covid-19 lagi.
"Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air amat terkesan dengan keadaan ekonomi dunia ditambah dengan krisis kesihatan ini," tambahnya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai