Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan kilang penapis sawit minta PKP dikecualikan untuk perladangan

Persatuan Kilang Penapis Minyak Sawit Malaysia meminta kerajaan negeri Sabah membenarkan pemain industri dan rantaian bekalan untuk bekerja secara serentak sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Terhad (PKP).

Pengerusinya Jamil Haron berkata saranan itu bertujuan mengelakkan gangguan operasi untuk memanfaatkan pengguna dan ekonomi secara keseluruhan.

“Tanpa bekalan minyak sawit mentah yang berterusan, kilang penapis perlu menutup operasi dan menyebabkan kerugian pendapatan, pemberhentian kerja sementara dan pelbagai masalah lain, tidak termasuk pengurangan bekalan minyak masak di pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, beliau berkata kilang minyak sawit terutamanya kilang kecil yang tidak mempunyai bantuan dari segi perladangan dan sokongan untuk menyokong perniagaan mereka ketika tempoh PKP, turut mengalami nasib yang sama.

Malah, sebelum ini, kebanyakan kilang penapis telah menjual dan menandatangani kontrak dengan pembeli luar negara dan ia perlu dipatuhi.

Nasib penyedia perkhidmatan sokongan seperti syarikat perdagangan yang tidak mempunyai kemudahan pembuatan, namun berperanan penting dalam menghubungkan kilang penapis dengan pembeli akhir di luar negara juga perlu diberi perhatian.

Jamil berkata, mereka juga mempunyai pesanan yang perlu dipenuhi misalnya mendapatkan bekalan dari kilang penapis untuk penghantaran selanjutnya ke destinasi pembeli.

Perkhidmatan utama lain termasuklah pengangkutan dalaman, pengangkutan, penghantaran fret, pemasangan pukal, pengukuran kargo, pemeriksaan dan makmal analisis.

Pada 30 Mac, kerajaan negeri Sabah membuat keputusan untuk melanjutkan penutupan operasi ladang kelapa sawit sehingga 14 April ini dan memperluaskan arahan itu kepada enam daerah.

Sebelum ini, operasi ladang sawit dan kilang kelapa sawit di tiga daerah diarah tutup sehingga 31 Mac selepas tujuh daripada pekerja ladang disahkan positif COVID-19.

Sabah ialah negeri pengeluar sawit terbesar di Malaysia dan menyumbang 25 peratus daripada jumlah minyak sawit negara pada 2019.

-Bernama