K'jaan disaran tangguh bayaran pinjaman rumah penjawat awam
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), menyarankan kerajaan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) agar menangguhkan sementara pembayaran balik pinjaman perumahan penjawat awam, yang dibuat melalui LPPSA.
Presiden CUEPACS Adnan Mat dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan, penangguhan berkenaan wajar dibuat agar selari dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan, yang dilakukan oleh institusi-institusi perbankan akibat penularan wabak COVID-19.
“Harus diingatkan tidak semua penjawat awam di negara ini mempunyai pasangan yang sama-sama bekerja. Ada dalam kalangan pasangan penjawat awam merupakan suri rumah, peniaga kecil atau bekerja di sektor swasta.
“Rata-rata penjawat awam gaji bersih mereka pula adalah sekitar 20% sekiranya mempunyai pinjaman perumahan atau ditolak dengan pinjaman perumahan dan lain-lain pinjaman,” jelas beliau.
Selain itu, CUEPACS berkata jika penangguhan bayaran pinjaman itu dilaksanakan, mereka yang terlibat akan mempunyai lebihan pendapatan, yang boleh digunakan untuk situasi kecemasan seperti ini.
CUEPACS berharap keluhan dan permintaan penjawat awam ini mendapat pertimbangan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan LPPSA, memandangkan perkara ini telah dimohon oleh CUEPACS sebelum pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac lalu.
CUEPACS juga yakin penangguhan ini, akan memperkukuhkan semula pergerakan ekonomi dalam negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai