Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dampak Covid-19 menggerunkan, kata Palang Merah

ULASAN | Sekiranya mangsa pertama dalam peperangan adalah kebenaran, seperti kata pepatah, barangkali mangsa keduanya mungkin adalah apa yang sangat bernilai untuk seluruh dunia sekarang: Penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Keluarga-keluarga yang melarikan diri dari konflik atau kini terperangkap di zon peperangan menyedari bahawa bantuan perubatan adalah sesuatu yang istimewa dan jarang terdapat di zon peperangan.

Di tengah-tengah konflik keganasan yang penuh dengan bom dan peluru, fasiliti perubatan yang berfungsi dengan baik adalah seperti sebuah oasis yang menyelamatkan nyawa, tetapi apa yang pasti, kakitangan perubatan selalunya tertekan dengan bebanan kerja dan kekurangan bekalan.

Kekurangan rawatan perubatan menjadikan penyebaran Covid-19 di zon peperangan sesuatu yang amat menggerunkan.

Covid-19 akan menjadi ancaman dramatik kepada mereka di zon konflik yang sering dilihat sebagai orang yang tidak bernama, yang tidak mempunyai wajah.

Situasi mangsa perang

Tetapi organisasi saya membantu dan dapat mengenali mereka serta keluarga mereka yang mana sekarang sedang berhadapan dengan ribut ganas ini.

Sebagai presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), saya mengetahui situasi sebenar yang dihadapi oleh mangsa peperangan. 

Kami memberi makanan kepada mereka yang mengalami kekurangan zat yang serius.

Kami dengar rintihan mereka yang pernah mengalami serangan seksual. Kami memulihkan pertalian hubungan antara keluarga yang terpisah, dan kami bantu menyembuhkan luka perang yang menakutkan.

Pelarian perang di Sudan Selatan.

Pendek kata, kami selalu melihat dunia dalam keadaan yang paling teruk, itulah sebabnya saya mahu pemimpin dunia dan kerajaan mendengar dengan teliti: Saya takut.

Saya takut kerana Covid sedang memberi bebanan kepada kapasiti perubatan di negara-negara Barat yang maju dalam infrastruktur perubatan.

Saya takut Covid akan tersebar di mana-mana penjara yang mengalami masalah kekurangan sumber. Kapasiti kesihatan dan perubatan yang rendah di penjara-penjara akan menyebabkan penyakit ini merebak.

Saya takut Covid akan tersebar di kem pelarian yang sempit dan tempat perlindungan sementara yang tidak menentu, di mana penjarakkan sosial tidak mungkin dilaksanakan dan sumber perubatan yang tidak mencukupi.

Kem pelarian Rohingya di Cox Bazar, Bangladesh.

Kanak-kanak, ibu bapa, dan terutama datuk nenek di sana akan mendapati mereka telah ditinggalkan dan terpaksa melawan Covid-19 bersendirian, dan itulah sebabnya saya menggesa kerajaan dan kumpulan kemanusiaan seperti ICRC untuk melakukan sebanyak mungkin untuk membantu golongan rentan.

Ini memang satu keperluan sejak dulu lagi. Hari ini, membantu mereka yang kurang mampu untuk mempertahankan diri daripada penyakit adalah satu tindakan moral dan politik yang penting - terutamanya - semasa kesan sosial dan ekonomi yang melumpuhkan krisis kesihatan global.

Kita mampu dan mesti mengurangkan penderitaan yang akan disebabkan oleh penyakit ini ke atas mereka yang kurang upaya supaya mereka dapat mengatasinya.

Dalam kajian 2016, Rand Corporation mendapati bahawa Afghanistan, Haiti, Yemen dan 22 negara di Afrika merupakan 25 negara paling terdedah kepada wabak penyakit berjangkit. Majoriti dari 10 negara paling rentan adalah zon konflik.

Kesan runtuhan akibat bom dalam perang di Somalia.

ICRC sedang melaksanakan reorientasi besaran dalam aktiviti bantuan kami, bagi menyesuaikan kerja kami yang sedia ada kepada realiti virus hari ini. Di fasiliti perubatan yang dibantu oleh ICRC seperti di Syria, Somalia dan Iraq, kami meningkatkan stok bekalan penting dan menguatkan langkah pencegahan dan kawalan jangkitan.

Di tempat penahanan di lebih daripada 50 buah negara, ICRC bekerja sama dengan pihak berkuasa untuk menguatkan pemeriksaan perubatan dan langkah-langkah pencegahan untuk ketibaan baru, pelawat, pengawal dan kakitangan penghantaran.

Kami juga menyokong langkah pembasmian kuman dan pengagihan bahan-bahan kebersihan. Kami tahu langkah-langkah sedemikian telah menghalang penyebaran kolera dan Ebola ke tempat penahanan di Guinea, Liberia dan Republik Demokratik Congo. Kita mesti melakukan langkah yang sama dengan Covid-19.

Pekerja ICRC memerangi wabak ebola di Afrika.

Ini adalah langkah-langkah kritikal yang perlu di ambil sekarang. Tetapi terdapat satu lagi langkah kritikal: ICRC dan lain-lain mesti terus menjalankan kerja yang tidak berkaitan dengan Covid-19.

Sebagai contoh, hospital yang kami bantu di Sudan Selatan telah menerima lebih daripada 145 pesakit dengan luka tembakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Mereka juga mesti dibantu.

Realiti yang menyedihkan untuk mereka yang berada di tempat konflik ialah, Covid-19 mungkin hanya satu ancaman tambahan kepada nyawa mereka. 

Kerana sebab inilah Setiausaha Agung PBB António Guterres telah meminta gencatan senjata global; badan kemanusiaan memerlukan semua ruang untuk respons dan menangani pandemik ini.

Respons berganda kami terhadap konflik dan Covid-19 menjadi lebih sukar kerana langkah-langkah penting yang diambil untuk membendung pandemik ini. Sekatan perjalanan menghalang pengambilan bantuan kemanusiaan dan menghalang pasukan kami daripada memasuki negara atau menghantar bekalan.

Kurangkan derita

Kami akan berusaha untuk mengatasi cabaran ini, tetapi kami meminta para pemerintah untuk membuat pengecualian untuk kerja-kerja kesihatan dan kemanusiaan.

Jika bantuan adalah satu tindakan moral yang penting, kerajaan dan pelaku bersenjata yang lain di kawasan konflik mesti melindungi ruang kemanusiaan yang berkecuali dan tidak memihak, tidak membebaninya dengan peraturan dan sekatan; setiap orang mesti melindungi maruah manusia, tidak meminggirkan, mengecualikan dan menyebabkan stigma.

Saya takut serangan Covid ke atas golongan paling rentan (golongan mudah terdedah penyakit) di dunia akan menjadi lebih teruk. 

Masa sudah singkat, tetapi kita perlu bekerjasama sekarang untuk mengurangkan apa sahaja penderitaan yang mungkin akan menimpa.

Kerajaan, pihak yang terlibat dalam konflik dan pihak berkuasa mesti mengubah tingkah laku mereka. Virus tidak dihalang oleh sempadan; kesan daripada kekurangan respons dan sumber untuk tahanan dan pelarian bakal menghantui seluruh dunia.


PETER MAURER ialah Presiden, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.