Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ramadan kali ini Tuhan nak uji kita - peniaga bazar Ramadan

Selain sudah menjadi budaya setiap kali bulan puasa, bazar Ramadan juga menjadi sumber pendapatan penting buat sejumlah peniaga.

Bagaimanapun ramai peniaga yang saban tahun membuka gerai di bazar terpaksa melupakannya buat tahun ini apabila beberapa negeri sudah memutuskan untuk tidak mengadakan bazar Ramadan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Salah seorangnya ialah Nazlita Hasanuddin yang telah berniaga kuih di bazar Ramadan di Ipoh selama 28 tahun dan bakal hilang pendapatan sehingga RM3,000 tahun ini.

"Tambahan pula suami makcik OKU (berkerusi roda). Kami sekeluarga memang dari dulu hanya Berniaga dan kini kami tersepit untuk cari duit selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dan larangan untuk bazar Ramadan.

"Kami hilang punca pendapatan," katanya kepada Malaysiakini.

“Kerajaan memang bantu dan kami bersyukur, cuma kalau berniaga kami akan dapat banyak lagi duit. Kalau berniaga sebulan di bazar, dapat jugalah RM2,000 ke RM3,000,” katanya lagi.

Di bawah PKP, perkhidmatan dan perniagaan tidak penting tidak dibenarkan beroperasi, bagaimanapun restoran masih boleh menyediakan makanan untuk dibawa pulang atau dengan menggunakan khidmat penghantaran.

Perintah itu dijadual berakhir 14 April ini jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil keputusan untuk tidak melanjutkannya. Bulan Ramadan pula dijangka bermula 23 April.

Antara negeri yang telah mengumumkan pembatalan bazar Ramadan tahun ini ialah Selangor, Melaka, Sabah dan Kedah.

Bagi Wilayah Persekutuan pula, menterinya Annuar Musa berkata pihaknya akan memutuskan perkara itu setelah mendapat taklimat daripada pihak berkuasa tempatan.

Nazlita mencadangkan bazar Ramadan boleh diteruskan dengan menjarakkan kedai dan mengehadkan peniaga serta pembeli, seperti kaedah yang dilaksanakan sesetengah pasar raya pada masa ini.

Seorang lagi peniaga, Mastar Muni berkata dia bakal kehilangan pendapatan sehingga RM6,000 jika tidak berniaga di bazar Ramadan tahun ini.

“Saya boleh rugi banyak, dalam RM6,000. Susah nak hidup kalau tak dapat nak berniaga lepas ini. Saya harap kerajaan pertimbang untuk tidak tutup bazar.

“Memang ada kerajaan yang sudah umum tutup seperti Selangor, tapi sekiranya PKP tak dilanjutkan selepas 14 April, bukalah bazar kerana kami juga ingin berniaga,” katanya yang menjual lauk dan air di bazar Ramadhan Balakong sejak 15 tahun lalu.

Mastar turut meluahkan rasa “iri hati” apabila pemilik restoran yang memiliki premis sendiri dibenarkan terus beroperasi ketika PKP.

“Kenapa peniaga kecil seperti kami tidak boleh buka, saya iri hati sikitlah. Kami pun boleh pakai topeng muka, pakai sarung tangan berniaga," katanya lagi.

MKN hanya akan membuat keputusan berkenaan bazar Ramadan kemudian, yang mungkin akan mempengaruhi keputusan negeri-negeri lain.

Pada 31 Mac lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bazar Ramadan masih boleh beroperasi jika mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

'Ramadan ini tuhan uji kita'

Bagi Ramadan Husain Baba pula, tiadanya bazar Ramadan tahun ini merupakan keputusan terbaik bagi terus membendung penularan wabak Covid-19.

Dia yang berniaga nasi lemak kukus di bazar Ramadan di Melaka sejak 28 tahun lalu berkata, tiada apa yang boleh dilakukan apabila mengambil kira krisis yang dihadapi sekarang.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk tutup bazar Ramadan tahun ini, kita kena faham keadaan Malaysia sekarang dengan Covid-19.

“Kita (peniaga bazar) anggap tahun ini Tuhan uji kita, kita bersabar untuk Ramadan kali ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Setakat tengah hari semalam, Malaysia telah merekodkan sejumlah 3,333 kes positif Covid-19 dengan 53 kematian.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.