Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Derita dalam diam pembantu rumah

Walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) mengkehendaki rakyat Malaysia duduk di rumah selama beberapa minggu, namun bagi pembantu rumah ia bermakna mereka tidak boleh meninggalkan tempat kerja mereka sama sekali.

Satu tinjauan rambang terhadap beberapa pembantu rumah mendapati kesemua mereka diminta bekerja oleh majikan walaupun ia melanggar undang-undang yang memberi mereka cuti sehari dalam seminggu.

Seorang pekerja berkenaan adalah UMY (bukan nama sebenar) dari Jawa, Indonesia yang telah berkhidmat dengan majikannya selama 10 tahun.

Walaupun menggambarkan majikannya sebagai "baik" dan "bagus", UMY berkata PKP bermakna dia tidak boleh keluar pada hari Ahad dan bekerja tanpa gaji tambahan.

UMY berkata perkara itu sentiasa menjadi amalan sekiranya dia tidak meninggalkan rumah pada hari Ahad.

"Kami tidak ada rehat bulan ini. Jika kami bekerja seperti biasa pada hari cuti, bukan ke itu dikira bekerja lebih masa?

"Saya cuma harap saya boleh berehat pada hujung minggu akan datang," katanya sambil menambah dia akan gembira jika diberi masa untuk berehat.

Beban kerja bertambah

UMY berkata dia bekerja selama 14 jam sehari dan biasanya akan bertemu rakan-rakan pada hari Ahad.

"Biasanya kita akan pergi ke sekolah yang berhampiran untuk menghadiri kursus percuma. Mereka ajar Bahasa Inggeris, komputer dan kraftangan, antara lain," katanya.

UMY berkata, beban kerjanya bertambah sepanjang tempoh PKP kerana majikannya tidak makan di luar.

"Biasanya, saya masak dua atau tiga kali setiap minggu, tetapi majikan bimbang untuk keluar. Sekarang saya perlu memasak setiap hari. Sekurang-kurangnya dua kali sehari," katanya.

UMY berkata seorang rakannya juga terpaksa membuat lebih kerja kerana majikannya sentiasa mahu rumah mereka dibersihkan.

"Sekolah ditutup, anak-anak tinggal di rumah, jadi kami perlu jaga mereka.

"Kami mempunyai lebih beban kerja kerana virus Covid-19, tetapi gaji kami tetap sama," katanya.

Hari rehat bukan untuk kerja

Pengurus kumpulan hak migran Serantau Malaysia Emma memberitahu Malaysiakini, kes UMY bukanlah unik. 

"Pekerja domestik sepatutnya mendapat satu hari cuti, tetapi disebabkan wabak Covid-19, majikan bimbang pekerja mereka mungkin akan dijangkiti di luar, jadi mereka dilarang keluar.

"Tetapi apabila mereka tinggal di rumah semasa hari rehat, majikan akan minta mereka untuk bekerja seperti biasa," katanya.

Beliau berkata pekerja yang terlibat melaporkan lebih banyak melakukan tugasan dan tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

"Jika anda bimbang mereka keluar dan dijangkiti, maka biarkan mereka tinggal di rumah pada hari rehat mereka, tetapi jangan tambahkan beban kerja mereka," kata Emma.

Serantau Malaysia ialah kumpulan sokongan untuk pekerja asing Indonesia. 

Emma berkata, 75 peratus daripada ahli-ahli mereka adalah wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah. 

Satu lagi kategori pembantu rumah yang menjadi perhatian Serantau Malaysia ialah mereka yang bekerja berdasarkan jam iaitu dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Mereka melakukan kerja yang sama seperti UMY tetapi bezanya perlu mencari penginapan sendiri.

Pembantu rumah seumpama itu hanya bekerja di sebuah rumah khusus dan tidak boleh pergi ke tempat kerja ketika PKP dikuatkuasa. 

Dalam kes yang dihadapi Melati, dia kehilangan kerja baru-baru ini.

Melati berkata selain perlu membeli makanan dan membayar sewa, dia juga hilang pendapatan untuk menampung kehidupan empat tanggungannya di Indonesia.

"Kepada siapa kami boleh mengadu? Kerajaan tak peduli tentang kami, mereka tidak mengakui kewujudan kami, tetapi kami adalah pekerja juga.

"Kami hidup di sini dan kami menyumbang kepada ekonomi Malaysia," katanya kepada Malaysiakini dalam nada sebak.

"Orang kaya tidak tahu kami yang kelaparan. Saya lebih takut lapar daripada virus (Covid-19) tu sendiri."

Ada yang mahu bunuh diri

Melati menjelaskan majikan takut untuk berhubungan dengan pekerja sepertinya kerana bimbang dijangkiti virus Covid-19.

"Malah di kalangan ahli keluarga sendiri, kamu bimbang tentang siapa yang mereka temui dan sama ada terdapat kemungkinan kamu menjangkiti mereka.

"Dalam situasi ini, tiada sesiapa boleh dipercaya, semua orang hanya menjaga diri masing-masing," katanya.

Melati berkata beberapa rakannya juga berada dalam situasi yang sama dan rindu untuk bersama keluarga mereka di Indonesia.

"Saya makan mi segera dan roti setiap hari. Jika saya pulang ke rumah dan tinggal dengan keluarga, sekurang-kurangnya saya tak perlu bimbang apa yang perlu dimakan."

Beliau mendakwa ada beberapa pembantu rumah yang berhasrat membunuh diri selepas hilang pekerjaan dan kini kelaparan.

"Jika kami boleh keluar berjumpa kawan-kawan, mungkin kami lebih gembira. Tetapi kerana wabak ini, kami tidak boleh bertemu, kami perlu jauhkan diri antara satu sama lain."

Menurut Soalan Lazim (FAQ) Kementerian Sumber Manusia, semua pekerja mesti dibayar gaji penuh oleh majikan sepanjang PKP dikuatkuasakan.