NGO dakwa ramai pekerja asing terputus bekalan makanan
Sekretariat Khidmat Imigran (SKI) mendakwa ramai pekerja asing terputus bekalan makanan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.
Menurut Pengarah Urusan SKI, Nordin Othman, data tersebut diperoleh daripada 315 orang responden yang terdiri daripada pekerja asing dengan tujuan menyalurkan bantuan kepada mereka.
“Bantuan makanan asas sangat terhad dan hampir 98 peratus mengadu sudah terputus bekalan makanan,” jelasnya ketika dihubungi Malaysiakini.
Nordin menjelaskan berdasarkan data yang mereka ada, organisasi bukan kerajaan dari kalangan warga Indonesia dan Mercy Malaysia telah memberikan bantuan awal kepada mereka yang memerlukan.
“Setakat ini, hanya 30 orang yang berjaya dibantu. Kami tiada dana, hanya bantu kumpul maklumat untuk disalurkan kepada pihak-pihak yang berkaitan,” tambahnya lagi.
Nordin berkata pihaknya memahami kedutaan sukar menyalurkan bantuan kepada mereka yang tidak memiliki dokumen yang sah.
"Tapi kita tengok dari sudut kemanusiaan,” kata Nordin.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma), Zarina Ismail berkata bukan semua pekerja asing tidak mendapat bantuan secukupnya.
“Contohnya pembantu rumah. Biasanya jika mereka bekerja di Malaysia melalui saluran yang betul dan mereka akan tinggal di rumah majikan selama khidmat mereka diperlukan atas persetujuan dua pihak.
“Jadi, soal mereka tinggal di luar dan tidak dapat makanan tidak benar. Mereka masih bekerja dengan majikan yang sama melainkan kalau mereka lari dari majikan,” jelas Zarina.
Gaji harian, kerja sendiri
Zarina turut menjelaskan mereka telah menasihatkan agensi-agensi di bawah Pusma untuk memastikan kebajikan pekerja asing ini terjamin.
“Masalah mungkin timbul apabila pekerja asing ini dibayar gaji harian seperti dalam pembinaan atau bekerja sendiri.
“Sekiranya timbul masalah seperti tidak dibayar gaji dan sebagainya, mereka boleh terus hubungi kedutaan,” tambah beliau.
Terdahulu, warga asing telah berhimpun di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Pontian pada 21 Mac lalu untuk meninggalkan Malaysia ekoran daripada penguatkuasaan PKP.
PKP dilanjutkan sehingga 14 April dengan beberapa prosedur operasi standard seperti satu kereta satu orang dan operasi semua premis perniagaan menjual barangan keperluan asas dan komoditi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai