Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Angka kes Covid-19 meningkat sebab KKM aktif buat pengesanan'

Peningkatan kes Covid-19 di negara ini disebabkan pengesanan kes aktif di kawasan-kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Apabila kita melakukan PKPD, kita membuat membuat ujian saringan ke atas semua individu dalam sesebuah komuniti.

"Contohnya di Kampung Sungai Lui, ada lima kampung orang Melayu dan dua kampung Orang Asli, dan ada juga sekolah tahfiz. Sebabkan kita buat saringan, kita berjaya mengesan 41 pelajar tahfiz (yang diuji positif Covid-19) di kawasan itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham hari ini mengumumkan bahawa terdapat 217 kes baru, yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 3,333 kes. Peningkatan tertinggi setakat ini ialah 235 kes pada 6 Mac.

Untuk rekod, kawasan yang kini di bawah PKPD ialah kondominium Menara City One di Kuala Lumpur, tujuh buah kampung di Hulu Langat serta dua kampung di Simpang Renggam, Johor.

Noor Hisham juga memberi gambaran bahawa tidak akan ada perhimpunan besar-besaran di negara ini bagi tempoh enam bulan akan datang.

“Walaupun PKP akan tamat dua minggu lagi, tapi amalan kita dah berubah.

“Amalan kita, tak bersalam, kerap basuh tangan, jaga jarak sosial. Dan amalan perhimpunan (dalam tempoh) enam bulan ke setahun, (kita) tak galakkan langsung perhimpunan ramai-ramai,” katanya.

Mengenai pemakaian penutup hidung dan mulut , Noor Hisham mengulangi bahawa hanya mereka yang memperlihatkan gejala Covid-19 dan pasukan barisan hadapan yang berurusan dengan orang ramai sahaja dinasihatkan memakai topeng.

“(Yang lain), selagi anda mengamalkan penjarakan sosial sehingga satu meter, itu lebih dari mencukupi. Tapi jika anda ingin mengambil langkah berjaga-jaga lagi, ia terpulang kepada anda (untuk memakai penutup hidung dan mulut),” katanya.