Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

7 gergasi teknologi tawar video persidangan percuma

Tujuh gergasi teknologi menawarkan alat persidangan video secara percuma untuk meningkatkan keupayaan kerja dari rumah bagi perniagaan Malaysia yang menyokong pergerakan #DigitalVSCovid yang telah diperkenalkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai platform respons positif dalam menyusun sumber digital bagi menangani impak Covid-19.

Mereka adalah Alibaba, Amazon Web Services (AWS), Cisco, Google, Microsoft, Tencent dan Zoom.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata pandemik baharu ini telah memaksa syarikat-syarikat berkenaan untuk melihat perubahan dunia dan cara sesebuah perusahaan terpaksa dioperasikan.

"Pemilik perniagaan sekarang, perlu mengimbangkan antara gangguan yang tidak dijangka, sambil melindungi kebajikan dan kesihatan pekerja mereka.

“Sekarang ini pun, banyak majikan sedang mengkaji semula dasar syarikat sedia ada untuk menentukan sama ada proses pekerjaan semasa diperlukan. Masanya sudah tiba bagi Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) diaktifkan dan berubah ke digital sepenuhnya," menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini.

MDEC komited untuk memajukan pelaburan digital dan menangani cabaran yang dibawa oleh Covid-19.

"MDEC sendiri telah menggunakan alat digital perkongsian jarak jauh ini ketika menyertai pelbagai persidangan yang berfokus kepada industri seperti seminar web interaktif dengan rakan kongsi ekosistem.

"Selain itu, kami juga telah menganjurkan beberapa acara yang berpusat kepada industri seperti persidangan maya Data Ekonomi Rendaman dengan pemain pasaran utama termasuk pelbagai bengkel untuk berkongsi kemahiran serta tip pengurusan perniagaan dan e-dagang," katanya.

Kesemua tujuh alat persidangan video dan kolaboratif ada disenaraikan di laman web MDEC dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Semua diberi dengan akses penuh penggunaan membabitkan tempoh tertentu dan majikan boleh meneroka penawaran ini bagi mendapatkan lebih banyak maklumat serta bagaimana untuk menggunakannya dalam urusan bekerja dari rumah.

- Bernama