Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kemalangan jalan raya ancam populasi tapir di Johor

Kita biasa mendengar populasi hidupan liar sering terancam berikutan kawasannya diceroboh manusia, berikutan pembangunan tidak terancang ataupun pemburu haram yang memburu keuntungan.

Tetapi terancam akibat kematian disebabkan dilanggar kenderaan suatu yang jarang dan sukar untuk dipercayai.

Menyedihkan, tetapi itulah realitinya. Populasi Tapir di Malaysia kini menjadi mangsa.

Pengarah Jabatan Perhilitan negeri Salman Saaban mendedahkan populasi tapir akan menjadi lebih kritikal di negeri ini, terutama dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, antaranya disebabkan "road kill” atau kematian akibat dilanggar.

Katanya, pada tahun ini sahaja, Johor telah mencatatkan kejadian enam kes tapir dilanggar mati, yang berlaku dalam tempoh kurang dua bulan iaitu antara 5 Jan hingga 25 Feb lepas.

"Dua daripada enam kes itu berlaku di Kota Tinggi iaitu masing-masing di Batu 20, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil. Dua kes lagi, masing-masing di Jalan Padang Tembak Kluang dan tepi Lebuhraya Segamat-Kuantan, berdekatan dengan FELDA Pemanis Segamat.

"Baki dua lagi kes berlaku di Jalan Sekakap-Mersing dan Jalan Mersing-Jemaluang, Mersing,” katanya kepada Bernama dalam satu temuramah baru-baru ini.

Katanya, tiga daripada lima jalan ini merupakan kawasan ‘hotspot’ berlakunya kes tapir dilanggar mati.

Salman berkata, antara tahun 2015 sehingga penghujung tahun 2019, sebanyak 14 ekor tapir direkodkan mati akibat dilanggar kenderaan.

Katanya, walaupun tidak mempunyai stastistik yang tepat bagi kes tapir yang mati akibat dijerat beliau menegaskan bahawa kesan jeratan yang biasanya adalah dawai akan menyebabkan kecederaan serius pada anggota badan tapir terutamanya pada kaki (sehingga kudung) dan leher mamalia itu.

Katanya, terdapat banyak kes di mana tapir tersebut berjaya diselamatkan daripada jerat, malangnya mempunyai kesudahan yang menyayat hati, kerana akhirnya akan mati dalam tempoh dua hingga tujuh hari selepas diselamatkan.

“Kematian ini selalunya disebabkan jangkitan pathogen melalui luka. Selain itu, terdapat juga kes tapir mati disebabkan oleh ‘capture myopathy’, renjatan hipovolemia dan lain-lain,” kata beliau.

‘Capture myopathy’ merupakan satu penyakit haiwan tidak berjangkit, di mana kerosakan otot berlaku akibat usaha, pergerakan atau stress yang melampau.

Renjatan hipovolemia pula keadaan di mana nyawa haiwan terancam, apabila tubuh badan kehilangan lebih daripada 20 peratus (satu perlima) darah ataupun cecair, menjadikan keadaan di mana jantung tidak dapat mengepam jumlah darah yang mencukupi dalam tubuh dan menyebabkan kegagalan organ.

Populasi tapir dilihat kritikal pada masa ini kerana kadar pembiakan haiwan itu yang perlahan dengan seekor tapir betina biasanya mengambil masa lebih setahun (13 bulan) untuk melahirkan seekor anak dan mengambil kira tempoh mengasuh anak selama dua tahun, maka dianggarkan anak tapir yang seterusnya hanya boleh dilahirkan selepas tiga tahun enam bulan.

“Mengikut kiraan tempoh tersebut, seekor tapir betina hanya dapat melahirkan anak antara lima hingga enam ekor sahaja, sepanjang hayatnya (sehingga berumur 30 tahun),” katanya.

Salman berkata, pada masa ini dianggarkan populasi tapir di hutan Johor dalam 295 ekor.

“Jumlah ini berdasarkan penyelidikan ke atas kepadatan tapir lebih kurang sembilan ekor/100 km persegi dengan keluasan hutan darat (3,286 km persegi) di negeri Johor. Taman Negara Endau Rompin di Pahang adalah kawasan yang mempunyai kepadatan tapir tertinggi,” katanya.

Salman risau dengan keaddan ini di mana dengan beberapa faktor yang dilihat boleh mengancam populasi spesis haiwan itu, ada kemungkinan tapir turut menerima nasib yang sama dan turut pupus seperti Badak Sumatera dalam tempoh 10-15 tahun lagi.

“Justeru, langkah intervensi perlu dilakukan segera. Ini termasuk memasang dan menambah papan-papan tanda di kawasan-kawasan hotspot yang dikenal pasti sebagai habitat utama spesies ini berkeliaran, bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa kemalangan jalan raya," katanya. Sehingga kini 41 papan tanda telah pun dipasang di kawasan lintasan hidupan liar berkenaan.

Selain itu, Jabatan Perhilitan Johor turut mempertingkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan setiap bulan bagi mengurangkan risiko tapir dibunuh atau dijerat pemburu haram.

Katanya, pihaknya turut mengadakan program pengkayaan habitat, dengan menyediakan jenut-jenut tiruan bagi membekalkan keperluan mineral kepada tapir, terutamanya di kawasan yang merekodkan kehadiran tapir tinggi seperti di Hutan Simpan Panti dan Hutan Simpan Sedili di Kota Tinggi.

Program-program kesedaran awam seperti pameran, ceramah dan hebahan juga perlu diadakan secara kerap, bagi mendidik orang ramai agar menyayangi hidupan liar termasuklah tapir.

Bagaimanapun, di sebalik kesungguhan melaksanakan inisiatif ini, Salman berkata pihaknya menghadapi kekangan peruntukan kewangan yang terhad sekali gus menyukarkan kelancaran menjalankan program konservasi tapir yang dirancang.

Selain itu, Jabatan Perhilitan Johor turut berdepan dengan kes pencerobohan tanah dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti pertanian secara haram berdekatan habitat tapir.

“Tapir merupakan spesies herbivor yang memakan pelbagai jenis pucuk-pucuk dan daun-daun kayu yang meliputi sehingga 115 jenis tumbuh-tumbuhan. Selain itu tapir juga memerlukan garam galian sebagai tambahan untuk kesihatan, yang boleh diperolehi daripada jenut semula jadi yang terdapat di kawasan hutan.

“Jika sumber makanan sukar diperolehi di dalam hutan, tapir akan mencari makanan di luar kawasan seperti di kawasan pertanian atau di dalam kawasan kampung, seperti di dusun buah-buahan yang berhampiran. Ini telah mengakibatkan tapir terdedah dengan risiko dilanggar kenderaan ketika melintas jalan,” katanya.

- Bernama