Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Azmin, Ismail Sabri pengerusikan JK khas imbangkan ekonomi

Sebuah jawatankuasa kabinet khas telah dibentuk untuk memperkukuhkan pakej rangsangan ekonomi bagi Covid-19 dan untuk mengimbangkan antara memajukan ekonomi dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkesan.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), semalam kabinet telah berjumpa dan bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas kabinet bagi meluaskan langkah-langkah strategik untuk melindungi ekonomi dan pasaran buruh Malaysia yang terjejas oleh Covid-19.

Ia bertujuan untuk mengimbangkan antara keutamaan ekonomi negara dan pelaksanaan PKP yang berkesan, menurut kenyataan itu.

“Fokus lain bagi jawatankuasa ini termasuk langkah-langkah untuk mengekalkan keupayaan ekonomi Malaysia terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semasa PKP dan memastikan usaha mitigasi berkesan dalam menangani perubahan tenaga buruh di kalangan rakyat Malaysia.

"Permulaan jawatankuasa itu juga mencerminkan tindak balas segera kerajaan dalam menangani isu-isu yang diketengahkan oleh rakyat dan komuniti dalam perniagaan di Malaysia.

"Jawatankuasa kabinet khas akan diketuai bersama oleh dua menteri kanan - Menteri Miti, Azmin Ali dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob," tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, ahli-ahli jawatankuasa khas itu juga akan terdiri daripada mereka yang terlibat dalam ekonomi dan keselamatan negara.

"Di samping itu, Miti akan turut terlibat dengan pemain industri dari pelbagai sektor untuk mengumpulkan pandangan daripada mereka yang berada di lapangan.

"Usaha ini adalah kunci untuk memastikan jawatankuasa ini akan menangani isu-isu khusus yang dihadapi oleh komuniti dalam bidang perniagaan terutamanya, PKS, pengeluar dan pelabur," katanya.

Jawatankuasa itu dijadual akan mengadakan perbincangannya esok dan akan mengadakan mesyuarat kedua pada Ahad, dan kemudiannya akan melaporkan cadangannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada Isnin, 6 April.