Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Bantuan awal PKP untuk golongan benar-benar terdesak'

Kerajaan Kelantan hanya menyalurkan bantuan awal kepada golongan yang benar-benar terdesak dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata, ramai orang silap faham mengenai bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri melalui wakil rakyat, penghulu dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

"Bagi peringkat awal dalam tempoh PKP ini kita berikan bantuan kepada mereka yang benar-benar terdesak. Mereka ini yang kita utamakan. Bukan kepada semua golongan.

"Ini yang ramai orang silap faham. Kita bagi kepada mereka yang betul-betul terdesak. Seperti mereka yang tiada pendapatan dan tiada bekalan makanan," katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat khas exco Kelantan di kediaman rasmi menteri besar di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan rakyat Kelantan yang mengatakan tiada bantuan disalurkan oleh kerajaan negeri.

Sebagai rekod sebelum ini Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mengumumkan peruntukan sebanyak RM675,000 kepada golongan fakir miskin sepanjang tempoh PKP.

Ia meliputi 50 orang penerima bagi setiap dewan undangan negeri (DUN) dengan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM100 daripada Maik dan wang tunai RM200 setiap keluarga memerlukan melalui peruntukan kerajaan negeri.

Selain, dalam perkembangan terkini kerajaan negeri juga menyumbang dua bulan gaji menteri besar, timbalan menteri besar dan barisan exco bagi bantuan Covid-19 melalui Tabung Serambi Mekah.

Sementara itu Mohd Amar, berkata pihaknya meminta supaya rakyat Kelantan memahami kaedah penyaluran bantuan oleh kerajaan negeri.

"Tetapi kalau ada orang yang tercicir daripada menerima bantuan berkenaan, mereka boleh merujuk kepada penghulu kampung masing-masing dan insya-Allah kita akan bagi bantuan," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.