Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan tak lantik pihak lain urus bawa pulang rakyat M'sia terkandas

Wisma Putra hari ini menjelaskan bahawa Kementerian Luar Negara tidak menyerahkan pihak lain untuk membantu menguruskan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar akibat pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Menteri Luar, Kamaruddin Jaffar bahawa sokongan yang diterima adalah dari segi bentuk sumbangan sahaja.

"Saya ambil maklum bahawa terdapat laporan yang mendakwa kononnya pihak Wisma Putra menyerahkan sepenuhnya kepada pihak lain untuk membantu memudah cara urusan kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

"Ingin saya tegaskan bahawa sokongan yang diterima adalah menerusi pembiayaan kos penerbangan sahaja. Manakala, segala urusan lain iaitu rundingan dengan kerajaan asing senatiasa dilakukan secara rasmi melalui saluran diplomatik," katanya dalam sidang media menerusi Facebook sebentar tadi.

Terdahulu, beliau memberi penjelasan mengenai situasi terkini mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara kerana tidak dapat pulang ke tanah air selepas banyak negara mengumumkan perintah berkurung untuk mengekang pandemik Covid-19 yang turut menyebabkan pembatalan penerbangan komersial.

Katanya, sebanyak 3201 rakyat Malaysia telah berjaya dibawa pulang manakala, 4373 lagi rakyat dilaporkan masih terkandas di 56 negara.

"Negara yang paling ramai terkandas ialah di India membabitkan 2156 orang. Jumlah yang terkandas di India walaubagaimanapun dijangka berkurang apabila lebih ramai dapat dipulang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas tidak termasuk 179 yang terkandas di Amritsar di India, telah selamat di bawa pulang semalam.

"Antara lain yang terkandas adalah seramai 680 orang di Indonesia, 226 orang di Australia, 153 di New Zealand dan sebanyak 337 orang di Thailand.

Rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang di India baru-baru ini.

"Seramai 121 orang Arab Saudi, 128 di Pakistan, 54 di Filipina, 50 orang di Sri Lanka dan 43 orang di Emeriah Arab Bersatu (UAE) masih terkandas.

"Saya ingin menekankan sekali lagi, sesungguhnya usaha membantu rakyat Malaysia, merentasi politik. Wisma Putra akan terus memainkan peranan ini dengan sebaik mungkin walauapajua cabaran terpaksa dilalui," jelasnya.

Sementara itu, Kamaruddin juga berkata beliau mengalu-alukan sebarang bantuan dan sumbangan daripada orang ramai dalam usaha membawa balik rakyat Malaysia untuk pulang.

"Usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas adalah antara peranan utama Wisma Putra...

"Misalnya seperti, Dato (S Prakadeesh Kumar) Ceo Plus Max Group yang telah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos penerbangan sewa khas bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang sekarang ini terkandas di Nepal," katanya lagi.

Prakadeesh sebelum ini menyumbangkan RM170,000 untuk membawa pulang 179 rakyat Malaysia yang terkandas di India.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.