Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Syarikat produk perubatan AS rancang uji vaksin Covid-19 ke atas manusia Sept ini

Johnson & Johnson dilaporkan merancang untuk memulakan ujian vaksin eksperimental koronavirus terhadap manusia paling lewat September ini.

Menurut Reuters, gergasi produk perubatan Amerika Syarikat itu juga dalam kenyataan hari ini berkata, kumpulan pertama vaksin mungkin boleh digunakan di bawah kebenaran penggunaan kecemasan pada awal 2021.

Tempoh itu jauh lebih awal berbanding tempoh biasa yang diperlukan untuk vaksin diuji, diluluskan dan kemudian dihasilkan, iaitu 18 bulan, kata laporan itu lagi.

Menurut laporan itu lagi, Johnson & Johnson melaburkan lebih AS$1 bilion bersama-sama agensi AS, Biomedical Advanced Research and Development Authority (Barda), untuk penyelidikan vaksin tersebut.

Pada Januari lalu, syarikat itu berkata telah memulakan penyelidikan untuk menghasilkan vaksin untuk koronavirus, dengan teknologi yang digunakan untuk vaksin Ebola sebelumnya.

Sejumlah pihak di seluruh dunia telah memulakan usaha untuk menghasilkan vaksin tersebut, bagaimanapun pakar berpendapat ia boleh memakan masa lebih setahun.

Setakat ini, sejumlah 704,000 orang di seluruh dunia telah dijangkiti wabak Covid-19, dengan 22,500 kematian.

Di Malaysia pula, sebanyak 2,626 pesakit telah disahkan positif wabak itu, dan 37 orang telah meninggal dunia.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.