Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Alliance Bank tutup 3 cawangan selepas kakitangan disahkan positif

Alliance Bank Malaysia Bhd telah menutup tiga cawangannya selepas kakitangannya yang menjalani saringan ujian Covid-19 didapati positif.

Dalam satu kenyataan media petang ini, bank itu berkata pekerja berkenaan melaporkan diri di cawangan Damansara Uptown.

"Kakitangan itu juga berkhidmat di cawangan lain - Alliance Bank Taman Tun Dr Ismail dan Kota Damansara. Beliau kini menerima rawatan perubatan di hospital tempatan," katanya.

Berikutan itu, Alliance Bank berkata ketiga-tiga cawangan itu akan ditutup sehingga notis lanjut untuk kerja-kerja sanitasi dijalankan secara menyeluruh mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan.

Sehingga hari ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 2,740 jangkitan Covid-19 dengan 34 kematian.

Dalam taklimat hariannya semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut menyatakan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, terdapat tujuh kematian yang berkaitan dengan virus itu.

Pesakit termuda yang meninggal dunia adalah seorang lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Manakala mangsa tertua adalah seorang wanita berusia 91 tahun.

Malaysia telah merekodkan kenaikan mendadak dalam kes Covid-19 selama lebih seminggu dengan kumpulan terbesar adalah kluster perhimpunan tabligh di sebuah masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur, bulan lalu.

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kluster sekarang adalah disebabkan oleh jangkitan generasi keempat dan kelima dari kkuster Sri Petaling itu.

[Baca berita penuh]