Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selangor sediakan lebih 200 bilik percuma buat petugas Covid-19

KORONAVIRUS | Sebanyak 287 bilik hotel disediakan oleh kerajaan Selangor untuk dijadikan tempat penginapan percuma buat petugas barisan hadapan yang kini sedang gigih melawan Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata langkah itu dilakukan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu agensi yang memiliki hotel De Palma Ampang dan De Palma Shah Alam.

Katanya inisiatif itu adalah usaha kerajaan negeri memperhalusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 2 untuk membantu golongan yang terkesan dengan wabak yang sudah membunuh 34 orang di negara ini.

“Sebanyak 204 bilik diperuntukkan di Hotel De Palma Ampang manakala 83 bilik lagi telah disediakan di De Palma Shah Alam bagi memenuhi keperluan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama kerajaan Selangor dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menambah tawaran penginapan percuma itu akan diperluaskan kepada kelompok lain pada masa akan datang berdasarkan keperluan semasa.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Amirudin turut mengumumkan hospital swasta bersetuju untuk menerima kes-kes pesakit bukan Covid-19 dari hospital kerajaan.

“Hospital-hospital swasta ini juga bersedia untuk menyumbang beberapa alat pembantu pernafasan (ventilator) buat kegunaan hospital-hospital kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Selangor telah mengumumkan insentif sebanyak RM200 serta bantuan makanan kepada semua kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam operasi Covid-19 di seluruh hospital negeri itu.

Bantuan makanan tersebut dijalankan secara berterusan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu.

Selain itu, beliau juga telah memberikan bantuan sebanyak RM200 kepada 2,500 mahasiswa Selangor yang kini belajar di Sabah dan Sarawak yang terpaksa tinggal di pusat pengajian masing-masing susulan penguatkuasaan PKP.