MCA fail bantahan rasmi, MP DAP tuntut ahli politik Taiwan mohon maaf
MCA memfailkan bantahan rasmi berhubung kenyataan yang dibuat seorang tetamu dalam rancangan bual bicara di Taiwan, berkenaan cara Malaysia menghadapi pandemik Covid-19.
Kenyataan itu dibuat oleh seorang pengulas bernama Lee Zheng Hao dalam rancangan "Crucial Moment" yang disiarkan EBC News pada 24 Mac lalu.
Dalam rancangan itu, Lee mengulas beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan bagaimana Malaysia menangani wabak tersebut.
Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menyifatkan pandangan Lee berkenaan cara Malaysia berdepan dengan wabak tersebut sebagai bercelaru dan dipenuhi kejahilan dan prejudis.
"Lee telah membuat kenyataan palsu tanpa asas...Terutama apabila dia salah faham terhadap ritual pengkebumian orang Islam apabila dia berkata orang yang meninggal dunia dikebumikan di tepi jalan pada waktu malam.
"Komen seperti itu benar-benar mengelirukan dan menyinggung sensitiviti," katanya dalam kenyataan.
Chong berkata MCA akan membuat bantahan rasmi di Pejabat Ekonomi dan Budaya Taipei di Malaysia bagi menuntut permohonan maaf daripada Lee dan steven televisyen tersebut.
"Steven TV tersebut terburu-buru mengundang tetamu untuk membuat ulasan berkenaan negara lain demi rating," katanya lagi.
Salah satu rakaman video yang diulas Lee adalah berkenaan pihak berkuasa di Malaysia yang didakwa mengkebumikan mangsa Covid-19 di waktu malam.
"Mengapa? (Kerana) terlalu banyak mayat. Mereka tak boleh membakar mayat (pada masanya).
"Mungkin mereka perlu lakukannya mengikut upacara Islam. Tetapi daripada apa yang saya dapat lihat, Malaysia kini sehingga tak boleh melaksanakan upacara pengkebumian secara lazimnya," katanya.
Pastinya pandangan itu tidak benar memandangkan kematian berkaitan Covid-19 di Malaysia setakat ini melibatkan 27 mangsa, jumlah yang secara relatifnya lebih rendah berbanding beberapa negara lain.
Lee juga mengkritik Malaysia kerana - menurutnya - kakitangan kesihatan terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sementara, selain demonstrasi bagaimana mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19 "ditangkap" di Indonesia.
'Minta maaf sungguh-sungguh'
EBC News telah menyiarkan permohonan maaf di laman webnya serta di laman Facebook "Crucial Moment".
Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong mendesak Lee agar memohon maaf "bersungguh-sungguh" terhadap Malaysia dan rakyatnya.
Menyifatkannya sebagai pelawak tanpa fakta, Sim berkata tindakan Lee menyebarkan dakwaan tidak benar tentang Malaysia tidak boleh diterima di saat seluruh dunia sedang berdepan Covid-19.
"Apabila sudah tahu berbuat salah, anda langsung tidak menunjukkan keinsafan malah cuba mempertahankan hujah bodoh anda. Pelawak pun lebih kelas daripada anda.
"Lee Zheng Hao, anda perlu minta maaf bersungguh-sungguh kepada negara dan rakyat Malaysia," kata anggota parlimen DAP itu dalam satu hantaran di Facebook, yang ditulis dalam bahasa Melayu dan juga bahasa Cina.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai