Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekalan makanan cukup, tak perlu pembelian panik - Ismail

Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata apa yang berlaku adalah rakyat melihat jenama dan bukannya produk.

"Tinjauan di 27 pasar raya mendapati bekalan makanan asas masih boleh didapati dengan mudah. Cuma apabila beras dikatakan mencukupi, ia merujuk kepada produk beras, bukan jenama.

"Jadi rakyat tak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri–menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Jelas Ismail Sabri kebanyakan pasar raya juga telah melaksanakan jarak sosial dalam premis perniagaan mereka.

"Ada yang mengehadkan kemasukan pelanggan dan di sesetengah tempat, mereka (pelanggan) beratur panjang dengan penuh sabar," katanya.

Mengulas mengenai penularan berita palsu, Ismail Sabri meminta rakyat agar hanya mendengar maklumat dari sumber yang betul.

"Masih banyak berita palsu dan ia kini bukan hanya secara individu," katanya.

Menyebut sebuah portal (The Edge Market) sebagai contoh yang menyenaraikan kawasan yang akan di dikenakan sekatan keluar dan masuk, Ismail Sabri menyatakan ia adalah berita palsu.

"Saya tak pernah buat kenyataan itu kepada media itu dan kenyataan hanya diberikan kepada beberapa media rasmi. Jika keluar daripada bukan media rasmi, ia adalah berita palsu," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.