Pemimpin PN puji k'jaan tingkat kuasa beli, PH mahu lebih subsidi upah
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi pandangan mereka terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.
PAS memuji bantuan tunai buat golongan B40 dan M40 serta sokongan yang diberikan buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata pakej itu dapat meningkatkan kuasa beli rakyat dan meningkatkan aliran tunai dalam pasaran.
“Kuasa beli ini membenarkan rakyat boleh berbelanja seterusnya akan meningkatkan keupayaan perniagaan, perdagangan dan perindustrian yang boleh membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“PAS yakin dengan ketelusan kepimpinan perdana menteri bersama kerajaan Perikatan Nasional mampu menyelesaikan isu sosio-ekonomi rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik Covid seterusnya dapat memulihkan negara menjadi kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
BACA maklumat berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di sini:
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa turut menyifatkan pakej bernilai RM250 bilion itu dapat meningkatkan keupayaan berbelanja rakyat.
“Intervensi sangat diperlukan ketika ini dan kerajaan tidak mempunyai pilihan, melainkan untuk memutuskan suatu pakej rangsangan yang besar bagi memastikan ekonomi dapat terus berkembang,” kata anggota parlimen Ketereh itu lagi dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi-agensi berkaitan akan membuat “pelarasan” masing-masing, selari dengan anjuran pakej berkenaan untuk mengecualikan sewa selama enam bulan bagi projek perumahan dan premis milik kerajaan.
Beri subsidi upah untuk setahun
Sementara itu, bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani Sim Tze Tzin berkata wang sebenar yang dibelanjakan kerajaan (suntikan fiskal langsung) dalam pakej RM250 bilion itu hanyalah “lebih kurang RM20 bilion.”
Beliau menggesa PN untuk berbelanja lebih tinggi, terutamanya terhadap subsidi upah.
“Kerajaan hanya subsidi RM600 untuk tiga bulan (untuk pekerja yang terkesan).
“Kerajaan seharusnya meningkatkan subsidi upah hingga setahun dengan mensyaratkan majikan tidak memotong pekerjaan,” kata anggota Parlimen Bayan Baru itu.
Walaupun demikian, kata Sim, beliau tetap menyokong pakej rangsangan itu dan berpendapat politik perlu diketepikan dalam keadaan krisis demi kepentingan negara.
Bekas timbalan perdana menteri, Dr Wan Azizah Ismail dan mantan timbalannya di Kementerian Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Hannah Yeoh pula menggesa agar elaun khas turut diberikan kepada pekerja kebajikan.
Presiden PKR Anwar Ibrahim pula, menggesa supaya pakej rangsangan itu dibawa ke perbahasan parlimen untuk penambaikan bagi mengangkat ekonomi negara.
Anggota Parlimen Port Dickson itu juga turut memberikan jaminan bahawa PH akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam hal itu, meskipun kerajaan PN bukan kerajaan yang dipilih rakyat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai