Mak Cik Kiah yang terangsang
PULASAN | "Itulah, makbul doa arwah Ustaz Fadzil dulu," kata seorang guru yang sudah berpuluh-puluh tahun berkhidmat memandaikan anak bangsa. "Panjang umur Mahathir, biar dia nampak kerosakan yang dia buat sebelum ini."
Soal seorang lain: "Macam mana kita tahu Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat kerosakan? Kalau tuhan takdirkan dia panjang umur untuk membaiki kerosakan, macam mana?"
Mereka bersaudara, tetapi dipisahkan oleh fahaman politik yang berbeza. Ketika itu Pakatan Harapan sudah ada, cuma belum menjadi kerajaan.
Guru itu seorang penyokong tegar PAS sejak berpuluh-puluh tahun silam.
"Jangan lupa, anak-anak dan balu Ustaz Fadzil pun dah tak sokong PAS," kata orang kedua.
"Tak apalah, kita bersangka baik sudah. Ada la sebabnya mengapa Ustaz Hadi cakap begitu," kata guru berkenaan. Sudah terang lagi bersuluh, dia tetap dengan pendiriannya - menyokong parti lama dia.
Itu adalah modus operandi sebahagian besar pentaasub beberapa parti politik yang ada sekarang. Mereka akan terasa 'panas' apabila dikritik atau disindir dalam media sosial dan bingkas merangsang orang yang berkenaan.
Kemudian apabila disoal balik mengenai keabsahan atau sumber hujahnya, mereka akan mengalihkan tiang gol. Maka jadikan ia polemik yang tidak berkesudahan. Puncanya cuma satu. Mereka panas tetapi gagal memberikan hujah untuk mempertahankan diri.
Tak ikut, lampias marah
Kemudian datang pula Covid-19. Maka media sosial sekali lagi bertimbun-timbun dipenuhi sampah, termasuk dalam kalangan orang yang bergelar ustaz.
"Macam babi je bangsa degil di Penang tu" adalah satu daripadanya.
"Kawan maktab aku, India. Sampai left group sebab meluat dengan perangai rasis cikgu-cikgu Melayu Islam," kata seorang guru lain. Dia juga berusaha gigih memandaikan anak bangsa.
Seorang ahli politik yang diiktiraf sebagai ulama pula menggunakan kata-kata "menjilat lubang dubur" untuk melampiaskan kemarahannya kepada orang yang tidak mahu mengikut fahamannya.
Suatu ketika dulu, seorang yang berpelajaran - kalau berdasarkan sijil yang dimilikinya - menyebarkan mesej WhatsApp kononnya Pulau Pinang tidak lagi membenarkan azan berkumandang.
Apabila ada orang lain menunjukkan bahawa ustaz yang membuat dakwaan berkenaan sudah meminta maaf - dan subuh di Pulau Pinang akan berkumandang azan sehingga dua kali - orang yang kelihatan bijak itu akan mengalih kata-katanya ke isu lain.
Mengikut kata-kata orang sekarang, dia akan berpusing-pusing di 'roundabout' sehingga dia sendiri muntah kerana pening.
Sebenarnya, penularan wabak Covid-19 ini adalah peluang yang cukup besar untuk pencinta Islam menunjukkan betapa hebat dan damainya agama ini.
Pada waktu genting sebegini, sekurang-kurangnya orang Islam menunjukkan akhlak yang baik dan menyebarkan kasih sayang membantu semua manusia. Sebaliknya yang menjadi-jadi ialah kebencian kaum.
Khabar temberang jubah politikus
Islam sebagai agama yang lengkap sudah pasti memiliki cara untuk menyelesaikan masalah. Apa saja masalah. Tetapi dengan kebencian dan akhlak yang buruk, peluang yang terhidang itu nampaknya dibiarkan berlalu begitu saja.
Lebih malang, ada pihak yang berharap penyelesaian itu datang daripada orang politik yang jubahnya selalu berisi khabar-khabar temberang untuk kepentingan diri dan puaknya.
Sebagai orang Islam sudah tentu ia sangat menyedihkan saya. Sepatutnya Islam pada waktu ini semakin dihormati, disegani dan dikagumi. Kalau ia diimani, sudah tentu itu adalah yang terbaik. Namun untuk permulaan, jika orang bukan Islam menghormati dan tidak memandang serong agama ini, ia sudah memadai.
Malangnya sebahagian orang Islam terbuai dengan nukilan sesetengah ustaz dan penceramah yang gigih menyebarkan permusuhan serta kebencian dalam kalangan masyarakat.
Hal itu termasuklah berkenaan kelebihan serta keagungan bangsa Melayu. Pedulilah betapa lucu dan merepeknya dalil yang dibawakan, dengan penampilan penyampai yang berjubah, berserban dan melawak, semuanya ditelan dengan lazat.
Kemudian ia melarat ke dunia maya. Pentaasub itu - sama ada memang dibayar atau tidak - akan mengulang-ulang pembohongan itu. Kadang-kadang mereka tahu ia tidak benar, tetapi pada masa yang lain mereka mempercayai dongeng tentang kelebihan suatu bangsa ke atas bangsa lain itu dengan penuh ikhlas.
Pada masa sama, ada juga kumpulan yang tahu ia adalah dongeng, namun mereka tidak mahu orang lain tahu labun itu tidak benar. Mereka mahu orang ramai menelan cerita mengarut itu bulat-bulat.
Apa yang selalu dilupakan orang ramai ialah, setakat ini belum ada pemimpin politik dan ulama yang menegur perbuatan tersebut. Barangkali ulama dan ustaz terbabit mahu berkongsi 'pahala' yang tidak putus-putus itu sehingga ke liang lahad masing-masing.
Pengkhianat dianggap amanah
Barangkali juga mereka tidak merestuinya, tetapi ia hanya dibantah di dalam hati. Sementelah ia adalah sebahagian daripada iman, walaupun ia adalah iman paling lemah.
Dan bayangkan perbuatan menghina, memaki, meracun, memfitnah dan seumpamanya itu dibiarkan berlanjutan dari meja penceramah dan pengkuliah masjid serta surau hingga ke tempat tidur orang awam.
Tidak ada lagi didengar nasihat mereka - terutama yang ghairah berpolitik - agar perbuatan tersebut dihentikan.
Suatu ketika dulu ramai agamawan mengulang-ulang sepotong hadis Rasulullah SAW tentang tanda-tanda akhir zaman. Antaranya hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah (bermaksud): “Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara. Maka bertanya orang akan siapakah Ruwaibidhah itu. Nabi menjawab: Orang bodoh yang menguruskan urusan umum." (riwayat Ibnu Majah)
Namun akhir-akhir ini hadis berkenaan tidak lagi dipetik. Entah mengapa.
Maka tidakkah kita terfikir, bala yang ada ini - antaranya - disumbangkan oleh para ustaz dan penceramah yang gigih berlabun di bawah naungan redup masjid dan surau?
Tidak mungkinkah padah pembohongan tentang tiadanya azan atau penutupan masjid oleh kerajaan tertentu itu akhirnya ditampakkan oleh tuhan pada waktu ini? Mungkinkah Covid-19 ini hanya sebagai asbab kepada keterlanjuran kita?
Tapi itulah. Ulama itu pewaris nabi. Bahawa nabi itu sifatnya maksum, sesetengah kita menganggap "pewaris" itu juga memiliki limpahan maksum berkenaan. Sedangkan di mata sesetengah orang, muslihat dan helah mereka jelas kelihatan bergayut-gayut pada bucu serban masing-masing.
Maka memang padanlah bala yang menimpa kita pada hari ini. Malangnya, ia enggan difahami. Sebaliknya kita lebih suka berhujah sambil memandu mengelilingi roundabout macam guru yang mula-mula tadi. Atau laskar siber yang leka melahap habuan atas fitnah dan kejian mereka selama ini.
Dipercayai, sesetengahnya akan dapat kita lihat muncul di ruangan komen di bawah rencana ini.
Mereka itulah 'Mak Cik Kiah' yang tersenyum puas selepas dirangsang dengan pakej diumumkan kerajaan semalam. Mak Cik Kiah yang tidak peduli pun bahawa semalam perdana menteri ada melafazkan kata-kata "this government may not be the government that you voted for" itu.
Sambil tersenyum sekelian Mak Cik Kiah itu pun mematikan paku pada kotak yang memenjarakan akal masing-masing kerana tidak mahu memikirkan peringatan dikirimkan tuhan melalui 'cambuk-Nya' sekarang ini.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang mula merasai kehilangan gerai pisang goreng di tepi jalan.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai