Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis tutup 3 jalan Kota Damansara halang orang elak sekatan jalan raya

Polis hari ini memberi penjelasan berkenaan penutupan beberapa jalan raya di Kota Damansara di Petaling Jaya, Selangor, yang membangkitkan kerisauan kawasan itu mungkin dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) diperketatkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sekatan dibuat di tiga jalan tersebut kerana ia digunakan sesetengah penduduk untuk keluar dari Kota Damansara untuk urusan yang tidak penting.

Beliau berkata, sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, jalan tersebut digunakan oleh penduduk yang mahu mengelak sekatan polis.

"Kawasan Kota Damansara banyak jalan alternatif, dan ada penduduk yang ingkar mengelak sekatan jalan raya dengan menggunakan jalan itu.

"Ia juga kerana Kota Damansara bersempadan dengan Sungai Buloh," katanya kepada Malaysiakini.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan polis daerah Petaling Jaya, tiga jalan tersebut ialah Jalan Persiaran Mahogani Seksyen 9; Jalan Persiaran Jati Seksyen 8; dan Jalan Persiaran Sungai Buloh (TSB).

Beliau berkata, penduduk hanya dibenarkan keluar rumah untuk urusan penting sahaja, seperti membeli makanan dan barang keperluan.

"Tetapi ada orang yang enggan patuh kepada PKP. Jadi kita tengok keadaan dalam tiga atau empat hari ini.

"Jika keadaan tidak bertambah baik, kita akan ubah (pendekatan)," katanya lagi.

Kebimbangan terhadap PKP diperketatkan timbul selepas Kementerian Kesihatan mengenakan perintah itu di dua kawasan di Kluang, Johor, bermula 26 Mac hingga 9 April.

Dengan perintah itu, sekitar 3,570 orang daripada 650 keluarga dilarang keluar rumah.

Selain itu, polis dan tentera mengawal seluruh kawasan manakala pegawai kesihatan mengadakan pengesanan kes Covid-19 dari rumah ke rumah.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.