Berita palsu: 'Posmen positif Covid-19'
Pos Malaysia menafikan khabar angin tular di media sosial mendakwa bahawa posmen yang positif Covid-19 telah menjadi agen penyebaran virus itu..
Menurut jurucakap Pos Malaysia, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu di media sosial itu dan telah membuat laporan kepada Suruhnjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Berita itu adalah tidak benar, ia berniat jahat dan untuk menakut-nakut masyarakat terhadap posmen yang bertugas ketika musim Covid-19.
"Untuk itu, Pos Malaysia telah membuat laporan kepada SKMM untuk tindakan lanjut diambil terhadap penyebaran berita palsu," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Sebelum itu tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp rakaman suara mendakwa terdapat posmen bertugas yang positif Covid-19.
Rakaman suara itu antara lain mengingatkan orang awam turut berwaspada dengan surat yang dihantar oleh posmen kerana dikhuatiri akan dijangkiti virus itu.
Pihak yang menyebarkan berita itu mendakwa rakaman suara berkenaan milik ketua pasukan bagi Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Dr Christoper Lee.
Bagaimanapun, Lee (gambar, atas) yang juga pakar perunding penyakit berjangkit dan mantan timbalan ketua pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan rakaman suara yang dikaitkan dengannya itu adalah tidak benar.
KKM juga telah menafikan berita itu di media sosial.
Seluruh negara sedang melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
PKR yang pada awalnya dijadualkan berakhir 31 Mac ini dilanjutkan sehingga 14 April nanti.
Ketika PKP dilaksanakan, Pos Malaysia adalah antara sektor kritikal yang terus beroperasi ketika sebahagian besar sektor lain terpaksa menangguhkan operasi buat seketika.
Sementara itu, Pos Malaysia berharap tidak ada lagi tuduhan jahat dilemparkan kepada pihaknya yang berkerja untuk orang ramai ketika musim Covid-19 ini.
Jelasnya, Pos Malaysia sentiasa peka terhadap perkembangan penularan wabak itu dan sentias memastikan keselamatan serta kesihatan pekerjanya.
"Ia jelas berniat jahat terhadap posmen yang telah bertugas ketika ketika waktu sukar ini.
"Sehingga kini posmen yang bertugas di lapangan telah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai