Hospital di New York guna satu ventilator untuk dua pesakit
Sekurang-kurangnya satu hospital di New York mula menggunakan satu alat bantuan penafasan atau ventilator untuk dua pesakitnya.
Beberapa doktor menyatakan kebimbangan berhubung protokol yang dalam peringkat eksperimen bagi menghadapi krisis itu kerana dilihat terlalu berisiko, namun berpandangan ia sangat diperlukan apabila wabak Covid-19 ini mengatasi sumber perubatan mereka.
Covid-19 menyebabkan pesakit sukar bernafas dan dalam kes-kes yang teruk ia boleh merosakkan paru-paru.
Virus ini telah meragut sekurang-kurangnya 281 nyawa dan 22,000 kes dilaporkan hanya dalam beberapa minggu di New York City.
Ventilator adalah alat bantuan terakhir bagi pesakit yang disahkan positif Covid-19,yang mana doktor perlu memasukkan tiub ke dalam tekak pesakit.
Pengudaraan mekanikal boleh membantu seseorang yang tidak dapat lagi bernafas tanpa bantuan. New York hanya mempunyai beberapa ribu ventilator sahaja dan perlu mendapatkan puluhan ribu lagi.
Pakar bedah di New York-Presbyterian / Pusat Perubatan Universiti Columbia di Manhattan, Dr Craig Smith menulis buletin kepada kakitangannya bahawa pasukan anestesiologi dan pasukan rawatan intensif telah bekerja "siang dan malam" untuk menjalankan eksperimen perkongsian ventilator.
Manakalan pada Rabu, beliau sekali lagi menulis, "terdapat dua pesakit yang dirawat dengan baik pada satu ventilator."
Gabenor New York, Andrew Cuomo berkata pihaknya kini sedang berusaha untuk mencari ventilator yang cukup di pasaran dan telah menyuarakan ketidakpuasan hatinya dengan langkah yang diambil pihak hospital, namun akur pada potensi ia sebagai jalan penyelesaian.
"Ia tidak sesuai, tetapi kami percaya ia dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita.
Pada Selasa pentadbiran makanan dan ubat-ubatan AS yang mengawal selia pengeluar peranti perubatan, memberi kebenaran kecemasan bagi membolehkan ventilator diubah suai untuk menggunakan tiub pemisah bagi kegunaan beberapa pesakit Covid-19, walaupun pengeluar masih perlu berkongsi maklumat keselamatan serta kaedah dengan pengawal selia.
Sesetengah persatuan perubatan menentang kaedah berkenaan.
Pada hari Khamis, Persatuan Perubatan Penjagaan Kritikal, Persatuan Penjagaan Pernafasan Amerika dan empat kumpulan pengamal perubatan lain mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan usaha tersebut "tidak boleh diteruskan kerana ia tidak boleh dilakukan dengan selamat."
Jelas mereka, penyesuaian ventilator untuk memastikan ia berfungsi untuk satu pesakit dengan sindrom penafasan akut teruk (SARS) sukar, apatah lagi digunakan untuk lebih dari satu pesakit dalam satu masa.
Mereka mengesyorkan doktor memilih satu pesakit yang dianggap paling berpotensi untuk hidup untuk setiap ventilator.
Di Colombia, Smith menyatakan bahawa mereka tidak semestinya menggunakan ventilator untuk dua pesakit Covid-19, tetapi hanya pesakit yang berpasangan dengan keperluan pernafasan yang sama.
Di Manhattan, Hospital Mount Sinai memberitahu kakitangannya melalui e-mel bahawa para pegawai sedang "mengkaji" sama ada mereka boleh menggunakan satu ventilator untuk beberapa pesakit.
Manakala, pakar di Columbia berkata merujuk kepada kajian pada tahun 2006 di mana penyelidik, menggunakan simulator paru-paru, menyimpulkan bahawa satu ventilator tunggal dapat digunakan oleh empat orang dewasa dalam senario kecemasan.
Bagaimanapun, salah seorang penulis kajian itu, Dr Greg Neyman, memberi amaran terhadap sebahagian dalam kes Covid-19 kerana paru-paru berada dalam keadaan yang dijangkiti.
Jika keadaan paru-paru satu pesakit semakin merosot, katanya, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem ventilator.
Seorang pesakit boleh kehilangan oksigen manakala paru-paru pesakit lain akan mengalami peningkatan tekanan.
"Kecuali jika mereka dipantau dengan teliti, pengaturan itu mungkin jauh lebih berbahaya daripada kebaikan mereka,"kata Neyman dalam e-mel kepada Reuters.
- Reuters
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai