Anwar tak mahu orang politik, 'perompak' agih bantuan diumumkan PM
Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak mahu agihan bantuan yang diumumkan kerajaan dilakukan orang politik ataupun "perompak" kerana khuatir akan berlaku ketirisan.
Secara keseluruhannya, Anwar berkata beliau gembira dengan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
"Kita harus teliti peringkat pelaksanaan, apakah pelaksanaan itu tidak mengalami ketirisan dan kebocoran.
"Jangan diserahkan (pelaksanaan) kepada orang-orang politik atau pegawai yang mempunyai rekod yang buruk mencuri dan merompak," katanya mengulas pembentangan pakej ransangan ekonomi diumumkan petang tadi.
Ulasan Anwar disiarkan secara langsung melalui Facebooknya selepas pengumuman kerajaan.
Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion yang diumumkan perdana menteri petang tadi merangkumi Bantuan Prihatin Nasional, iaitu pemberian tunai secara one-off dengan peruntukan hampir RM10 bilion.
Bantuan bukan sahaja disalurkan kepada kumpulan B40 tetapi meliputi kumpulan M40, termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah.
Melalui program itu, bantuan RM1,600 akan diberikan kepada hampir 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.
Bayaran RM1,000 akan dibayar pada bulan April 2020 dan RM600 pada bulan Mei 2020.
Begitu juga bayaran RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada bulan April 2020 sebanyak RM500 dan baki RM500 pada bulan Mei.
Muhyiddin juga turut mengumumkan peruntukan kepada kementerian kesihatan, elaun khas RM600 kepada petugas barisan hadapan yang menangani wabak Covid-19 serta internet percuma sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bawa ke parlimen untuk dibahas
Tambah Anwar, beliau bersyukur kerana pakej rangsangan itu dilihat menyeluruh, namun harus diteliti kerana mungkin ada yang tercicir.
Oleh itu, Anwar berkata sewajarnya pakej ransangan ini dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan disokong serta ditambah baik bagi mengangkat ekonomi negara.
Katanya, walaupun Muhyiddin menjelaskan bahawa kerajaan yang ada ini tidak dipilih rakyat, namun memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya.
"Di negara demokratik, Korea, Jepun, Australia dia serahkan juga belanjawan ini untuk dibahas dan diawasi di Parlimen supaya ada kebertanggungjawaban.
"Sekarang ini bila tambah RM25 bilion, dari mana sumber? Bagaimana boleh bayar hutang, bagaimana boleh diperinci pelaksanaanya.
"Saya syor perdana menteri beri pertimbangan serius, beri ruang kepada semua pihak untuk bahas dan beri sokongan dengan maksud memperbaiki," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menganggap satu kelemahan jelas apabila penangguhan bayaran balik pinjaman dibuat, namun kadar faedah masih dikenakan.
Oleh itu beliau menyeru Bank Negara (BNM) supaya mengkaji semula langkah itu agar kadar faedah dapat diketepikan
"Saya anggap satu kelemahan besar kerana kadar faedah dikenakan, maknanya orang tidak ada meniaga, tak ada keuntungan, melalui kerugian, cukup enam bulan kena bayar balik hutang dengan faedah, ini harus diteliti semula oleh BNM," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai