Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Semua bank tidak kenakan faedah kompaun semasa moratorium

Bank-bank di negara ini mula menawarkan penangguhan bayaran secara automatik untuk pinjaman dan pembiayaan, kecuali baki kad kredit kepada semua individu termasuk perusahaan kecil sederhana (PKS), selaras dengan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM).

Selasa lalu, BNM mengarahkan pemberian moratorium enam bulan secara automatik yang berkaitan dengan 'Langkah untuk Membantu Individu, PKS dan Korporat yang Terjejas oleh Covid-19 '.

Menurut arahan itu moratorium berkenaan akan berjalan selama enam bulan berkuat kuasa 1 April .

Tawaran itu diberikan kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi ringgit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April.

Susulan pengumuman itu, bank-bank di seluruh negara mula mengumumkan syarat-syarat baru mereka dalam mematuhi arahan BNM. Malaysiakini telah menyusun pelbagai dasar bank-bank itu:

Ambank

AmBank dan AmBank Islamic akan menawarkan penangguhan bayaran secara automatik untuk pinjaman dan pembiayaan kepada semua individu termasuk PKS.

Pelanggan yang tidak mahu ospyen penangguhan pembayaran automatik ini, boleh meneruskan bayaran ansuran bulanan tetap mereka seperti biasa.

Mereka tidak akan mengenakan kompaun faedah atau keuntungan atas pinjaman dan pembiayaan dalam tempoh tersebut.

Pelanggan dengan fasiliti penukaran baki tertunggak kad kredit juga boleh menukar kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh untuk jangka masa 36 bulan pada 13 peratus setahun, berkuat kuasa 1 April.

Public Bank

Selain moratorium selama enam bulan ke atas bayaran ansuran bulanan kepada semua pelanggan individu dan perniagaan yang layak, bank itu juga mengumumkan tiada faedah kompaun akan dikenakan bermula 1 April hingga 30 September 2020.

Bagi pembiayaan Islam, keuntungan akan terus terakru ke atas jumlah prinsipal yang tertunggak tidak akan dikompaun, sejajar dengan prinsip Syariah.

Maybank

Maybank tidak akan mengenakan faedah kompaun bagi semua kemudahan pinjaman individu, PKS serta bukan runcit/korporat yang layak bagi tempoh moratorium selama enam bulan

Produk yang layak di bawah skim automatik untuk pelanggan runcit dan PKS termasuk pinjaman peribadi, gadai janji, Amanah Saham Bumiputera (ASB), pinjaman pendidikan dan PKS.

Bagaimanapun, bank tersebut berkata pelanggan bukan runcit/korporat yang layak perlu mengemukakan permohonan untuk penangguhan melalui pengurus hubungan mereka atau pengurus korporat bank, untuk mendapat kelulusan, kompaun tanpa faedah juga diberikan kepada mereka.

Ia berkata pinjaman sewa beli berkadar tetap telah tidak mempunyai faedah kompaun.

Bagi semua kemudahan pembiayaan Islam di bawah syarikat itu, kadar keuntungan kompaun sememangnya tidak dikenakan sejajar prinsip syariah.

CIMB

CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd akan memberikan moratorium automatik pembayaran balik pinjaman/pembiayaan kepada pelanggan individu dan PKS.

Bagi pelanggan individu, produk Islam dan konvensional yang layak di bawah moratorium (penangguhan) ini termasuk pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB), rumah, pembiayaan auto (kenderaan) dan pembiayaan peribadi (Cash Express, Cash Plus Loan dan Awam-i).

Bagi PKS, moratorium juga melibatkan semua pinjaman/pembiayaan dan pembiayaan sewa perindustrian yang sedia ada.

Faedah/keuntungan akan terus terakru daripada pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertunda dan pelanggan perlu untuk menunaikan pembayaran balik tertunda pada masa hadapan, manakala faedah ke atas pinjaman konvensional tidak akan dikompaunkan dalam tempoh moratorium.

Pelanggan individu boleh memilih keluar dari moratorium sekiranya mereka mahu meneruskan jadual mereka yang sedia ada.

Untuk pembiayaan Islam, keuntungan akan terus terakru dalam tempoh moratorium dan keuntungan tidak akan dikompaun selaras dengan prinsip Shariah.

Bayaran balik pinjaman/pembiayaan akan diteruskan selepas moratorium.

RHB

RHB Banking Group (RHB) juga tidak akan mengenakan faedah kompaun bagi tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman selama enam bulan untuk pelanggan runcit serta PKS berkuat kuasa 1 April.

Bagi pembiayaan Islam, RHB akan terus mematuhi prinsip tanpa keuntungan kompaun.

Senarai disusun dari Bernama

[Baca berita penuh]