Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sultan Johor minta penduduk Simpang Renggam bertenang

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar meminta penduduk di dua kawasan di Simpang Renggam, dekat Kluang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung wabak Covid-19, supaya bertenang.

Menerusi catatan yang dimuat naik pada laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim turut bertitah supaya penduduk di kawasan terbabit memberi kerjasama penuh kepada petugas-petugas perubatan serta sentiasa mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

"Saya amat berharap penduduk-penduduk di dua kawasan terbabit bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas perubatan bagi membendung jangkitan Covid-19 daripada menular ke kawasan lain.

"Saya amat menitikberatkan kesihatan anda semua dan sentiasa mendoakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat," titah baginda menerusi Royal Press Office (RPO) dan dimuat naik pada laman Facebook berkenaan.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam bermula hari ini hingga 9 April.

Keputusan dibuat berikutan jumlah kes yang tinggi dilaporkan di dua kawasan berkenaan iaitu sebanyak 61 kes.

- Bernama