Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KDNK sebenar Malaysia diunjur 1.2 peratus

Fitch Solutions Country Risk & Industry Research (Fitch Solutions) menyemak turun unjuran pertumbuhan benar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 1.2 peratus berbanding 3.7 peratus, sebelum ini.

Ini berikutan prospek ekonomi global yang terus suram dan dijangka memberi kesan berleluasa dari segi keadaan kemelesetan, unjuran luaran yang lemah dan penyusutan harga minyak mentah global, katanya dalam kenyataan hari ini.

Faktor lain adalah prospek penggunaan swasta yang susut berikutan kedudukannya sebagai pemacu utama pertumbuhan Malaysia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac-14 April, 2020.

“Kami menjangkakan kerajaan akan terus melaksanakan lebih banyak pakej rangsangan bagi menyokong ekonomi sebagai tambahan kepada pakej yang diumumkan pada akhir Februari lepas,” katanya.

Susulan itu, Fitch Solutions berkata ia turut menyemak turun unjuran terhadap kesemua komponen perbelanjaan utama KDNK bagi tahun ini, kecuali perbelanjaan kerajaan.

Unjuran berkenaan terutamanya berdasarkan jangkaan penyusutan pertumbuhan penggunaan swasta kepada sekitar 1.0 peratus - lebih rendah berbanding 5.0 peratus sebelum ini.

Ini disebabkan oleh kemungkinan gangguan aktiviti biasa ekonomi dan sosial berterusan yang perlu dilaksanakan demi membendung penularan wabak COVID-19, sekali gus boleh menjejaskan pendapatan boleh guna serta peluang untuk berbelanja.

Berikutan cabaran ekonomi tersebut, Fitch Solutions juga menjangkakan kerajaan melaksanakan lebih banyak pendekatan rangsangan pada bulan-bulan mendatang walaupun ruang fiskal tersebut menguncup secara ketara akibat penyusutan mendadak harga minyak.

Malah, Belanjawan 2020 Malaysia adalah berdasarkan andaian harga minyak sekitar US$62 setong.

“Oleh kerana hasil minyak itu menyumbang sekitar 21 peratus daripada perolehan kerajaan, ini bermakna sumber kerajaan telah berkurangan untuk disalurkan kepada rangsangan ekonomi dalam bulan-bulan akan datang.

“Kerajaan juga terpaksa beralih kepada simpanan persaraan bagi menampung pakej rangsangan sebelum ini yang bernilai RM20 bilion dan sebarang pakej lanjutan berkemungkinan besar melibatkan keperluan menyediakan aspek keselamatan sosial masa depan dan melonjakkan pertumbuhan jangka pendek,” katanya.

Mengulas risiko terhadap unjuran itu, Fitch Solutions berkata terdapat kemungkinan pandemik itu tidak dapat dikawal pada suku pertama dan sebarang gangguan ekonomi global yang berlanjutan boleh menyebabkan Malaysia mengalami kemelesetan.

- Bernama