Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Brunei bantu bawa pulang rakyat M'sia kandas di Mesir

Kerajaan Brunei bersetuju membenarkan sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir, untuk menaiki pesawat negara berkenaan, selaras dengan misi repatriasi rakyat mereka, yang dijadualkan berlepas dari Kaherah esok.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, keputusan itu dicapai menerusi komunikasi antara Menteri Luar Hishammuddin Hussein dengan Menteri Luar Negeri II Brunei, semalam.

“Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, sedang berkomunikasi rapat dengan pihak Kedutaan Besar Brunei di Kaherah, mengenai pelan repatriasi ini.

“Sehingga hari ini, seramai 86 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di Kaherah, Mesir. Namun disebabkan kapasiti penerbangan Brunei yang terhad, hanya 51 orang rakyat Malaysia sahaja dibolehkan menaiki penerbangan tersebut,” katanya pada sidang media, perkembangan terkini proses repatriasi rakyat Malaysia di luar negara secara langsung, di Facebook rasmi Wisma Putra hari ini.

Kamarudin berkata, keutamaan diberikan kepada warga emas dan pelancong rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air.

Penerbangan dijangka tiba di Bandar Seri Begawan, Brunei, pada 8.40 pagi, Ahad.

- Bernama