Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

7 pekerja pembersihan HTI turut jalani ujian saringan Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap tujuh pekerja pembersihan Hospital Teluk Intan (HTI), Perak, menurut Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan (Kesatuan).

“Kami mengucapkan terima kasih kepada KKM dengan tindakan segera ini dan berharap pekerja pembersihan yang lain juga dapat melakukan saringan itu.

“Terdapat 120 pekerja ditempatkan di HTI dan dengan kadar jangkitan yang tinggi sekarang memberi risiko kepada pekerja dari jabatan lain untuk dijangkiti virus itu,” kata Setiausaha Eksekutif Kesatuan M Saraswathy.

Kesatuan pagi tadi memuat naik satu hantaran di Facebook mendakwa tujuh pekerja di HTI dilarang membuat ujian saringan wabak tersebut oleh pengurus syarikat terlibat kerana tiada pekerja ganti.

Malaysiakini telah menghubungi pihak pengurusan syarikat pekerja itu dan masih menunggu maklum balas mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebentar tadi berkata tidak timbul lagi isu sekarang kerana ujian saringan akan dilaksanakan terhadap semua kakitangan dan unit sokongan.

“Memang laksana ujian untuk semua,” katanya.

Seramai 39 kakitangan perubatan di hospital itu dijangkiti wabak tersebut, yang merupakan jumlah terbesar di kalangan kakitangan hospital di Malaysia.

UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta) dalam satu kenyataan media menyatakan syarikat mematuhi prosedur kawalan jangkitan dan protokol yang ditetapkan oleh setiap pasukan operasi hospital.

“UEM Edgenta akan terus berkhidmat sepanjang wabak ini untuk kawalan jangkitan yang bertanggungjawab dalam menentukan keperluan pengasingan dan ujian pekerja-pekerja di mana-mana hospital.

“Kesemua tujuh pekerja kini sedang dipantau oleh pihak berkuasa mengikut protokol dan sedang menunggu keputusan ujian saringan,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

Pada masa ini, katanya, tiada kakitangan Syarikat telah disahkan dengan Covid-19.

Menurut kenyataan itu lagi UEM Edgenta juga melaksanakan prosedur yang ketat untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja mereka yang melakukan perkhidmatan sokongan hospital kepada KKM, termasuk penggunaan peralatan pelindung diri (PPE) yang ditetapkan.