Covid-19: Tanpa seragam hijau tak apa, boleh bantu juga
Ketika pasukan tentera turun membantu menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP), Daud Abdul Hamid tidak dapat lagi berbuat demikian.
Dia sudah bersara empat tahun lalu dan unit terakhirnya merupakan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat Port Dickson.
Bagaimanapun, itu tidak menjadi alasan bagi warga emas 58 tahun itu untuk membantu pihak yang terjejas mata pencarian susulan arahan bagi membendung Covid-19.
Daud yang tinggal di Semenyih, justeru mengumpulkan derma sendiri, termasuk daripada jiran-jiran berdekatan rumahnya bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya fakir miskin.
Hasilnya dia membuka kaunter bantuan sendiri di Masjid Rinching, Semenyih Kajang bagi menyalurkan barangan keperluan asas yang disumbangkan, antaranya adalah beras, susu, biskut, gula dan garam.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Daud berkata menyifatkan usahanya itu sebagai “bantuan dari rakyat ke rakyat”.
“Kita kena tengok juga walaupun petugas baris hadapan perlu dibantu tetapi penjaja, peniaga gerai dan asnaf (zakat) semua susah.
“Mereka semua dah tiada punca rezeki, jadi saya nak beri bantuan dari rakyat ke rakyat,” katanya yang memberi sumbangan tersebut di Masjid Rinching, Semenyih.
Niat murni Daud menarik perhatian pengguna warganet sejak semalam susulan gambarnya memberi sumbangan di masjid tersebut dimuat naik oleh anaknya sendiri, Aida Suraya Daud di akaun Twitter.
“Masjid ayah buka kaunter makanan kering untuk warga emas, asnaf dan miskin setempat, makanan boleh ambil percuma.
“Sebak tengok ayah, doakan ayah saya sihat dan mampu tolong yang memerlukan,”ciap Aida di Twitter.
Ciapan yang hadir memperlihat gambar Daud berswafoto memakai baju hujan berlatar belakang dengan beberapa barangan kering di masjid itu sehingga kini meraih 9,000 ulang ciap dan 8,000 tanda suka.
Berbaju hujan beri sumbangan
Ditanya susulan tindakan mengenakan baju hujan, Daud berkata itu adalah sebagai langkah keselamatan dan bagi mematuhi peraturan PKP.
“Saya pakai baju hujan seperti kelengkapan PPE (sut perlindungan diri) sebab duduk di luar untuk beri bantuan.
“Yang hadir pun saya minta datang seorang sahaja dan masa akan ditentukan, tidak boleh hadir ramai-ramai. Ini untuk ikut peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya.
Jelas Daud lagi, masjid tempat beliau memberi sumbangan juga ditutup dan hanya kedai koperasi dalam rumah ibadat itu dibuka bagi menjalani aktiviti tersebut.
“Saya buka dalam dua jam sahaja, dalam kira-kira selepas Asar. Tidak lama,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau juga berhasrat untuk terus memberi sumbangan sehingga mampu kepada golongan yang terkesan akibat wabak tersebut.
PKP dilaksanakan bermula 18 Mac dan kini disambung sehingga 14 April.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai