Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ambank mohon batal saman Najib

Ambank memfailkan permohonan membatalkan saman terhadapnya oleh bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan berkongsi maklumat mengenai akaunnya dengan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low).

AmBank Islamic Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd, melalui Tetuan firma guaman Shook Lin & Bok, memfailkan notis permohonan itu di pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Mac.

Permohonan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu untuk membatalkan saman itu sebelum ini ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 15 April.

Menurut kertas kausa yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini, AmBank memohon membatalkan saman Najib kerana didakwa tidak menyatakan sebarang sebab munasabah untuk mengambil tindakan ke atas bank berkenaan.

"Tindakan plaintif di sini juga adalah bersifat skandal, remeh, menyusahkan dan atau satu salahguna proses mahkamah yang mulia ini," kata mereka melalui notis permohonan.

Bank komersial itu mendakwa ia tidak menyebabkan kes SRC International RM42 juta terhadap Najib, yang juga bekas menteri kewangan dan penasihat emeritus syarikat (SRC).

Pada 11 Mac, pihak pembelaan menutup kes dalam perbicaraan Najib berhubung tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. 

Mahkamah Tinggi menetapkan tiga hari pada bulan Mei untuk hujah lisan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.

"Tuntutan plaintif di sini tidak bona fide dan menjejaskan penyiasatan jenayah yang diambil terhadap plaintif dan ini bertentangan dengan dasar awam.

"Tuntutan plaintif telah difailkan untuk tujuan kolateral, iaitu menggagalkan dan mengganggu prosiding SRC dimulakan yang terhadap plaintif. Tindakan plaintif di sini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, "dakwa AmBank.

Ambank mendakwa tuntutan Najib  terhadap kerosakan atau kerugian daripada kes SRC tidak boleh dikaitkan dengan bank itu.

AmBank juga mendakwa bahawa tuntutan Najib berkenaan dengan nombor akaunnya yang dikendalikan defendan pertama adalah dihalang masa oleh undang-undang.

Rujukan terhadap akaun bank itu timbul beberapa kali sepanjang perbicaraan Najib berbubung  dakwaan penyalahgunaan dana RM42 juta SRC.

Dalam afidavit sokongan permohonannya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AmBank Islamic Bank, Eqhwan Mokhzanee Muhammad mendakwa saman Najib bertujuan "memperbaiki kelemahan dan jurang dalam pembelaan plaintif dalam prosiding SRC yang dimulakan terhadap plaintif".

"Tuntutan plaintif di sini hanya dimulakan selepas pihak pendakwaan telah menegaskan dalam prosiding SRC bahawa, walaupun dakwaan plaintif bahawa akaun-akaun tersebut berkata telah dimanipulasikan oleh pihak ketiga dan plaintif terkejut untuk mengetahui bahawa RM42 juta telah memasuki akaun akaun-akaun tersebut, plaintif tidak pernah mengadu, membuat laporan polis atau menyaman defendan pertama (Islamic Bank AmBank) mengenai perkara tersebut, "kata Eqhwan.

Perbicaraan terhadap Najib melibatkan dakwaan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC yang dipindahkan kepadanya menerusi akaun AmBank beliau dengan nombor akaun berakhir 880, 906 dan 898.

Pada 10 Dis tahun lepas, Najib memfailkan saman terhadap AmBank dan Yu kerana didakwa mendedahkan maklumat akaunnya kepada ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.