Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Waris perlu kebumi jenazah mangsa Covid-19

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menjelaskan kakitangan mereka hanya ditugaskan untuk memantau urusan pengkebumian jenazah mangsa Covid-19 dan waris si mati yang perlu menguruskan pengkebumian.

Pengarahnya Dr Zaini Hussin berkata, merujuk kepada Garis Panduan Pengurusan Covid-19 di Malaysia Edisi 4/2020, Annex 20 (Appendix 5 & 6), dibaca bersama Garis Panduan Pengurusan Penyakit Virus Ebola (EVD) di Malaysia.

"Berdasarkan garis panduan tersebut, segala aktiviti semasa proses pengkebumian perlu dilakukan di bawah pengawasan anggota kesihatan.

"Kedua-dua garis panduan tersebut bagaimanapun tidak dinyatakan proses pengkebumian perlu dilakukan oleh anggota kesihatan.

"Pihak JKN Kelantan menyesali dan memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku. Bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengurusan jenazah Covid-19, pihak JKN Kelantan akan terus membuat penambahbaikan dan meningkatkan tahap pemahaman masyarakat dan pihak berwajib yang berkaitan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang tular di dalam laman Facebook yang mendakwa waris kepada kes kematian ke-8 di Malaysia tidak berpuas hati dengan proses pengkebumian yang tidak dilakukan oleh kakitangan JKN Kelantan.

Menerusi posting yang tular di Facebook itu, waris kepada korban ke-8 Hassan Abdul Wahab mendakwa berlaku kecelaruan SOP yang mana dia diminta oleh pegawai Jabatan Kesihatan Daerah Pasir Mas untuk menguruskan sendiri pengkebumian jenazah bapanya.

Dakwanya, pegawai berkenaan mendakwa mereka hanya ditugaskan untuk memantau.

Perkara itu menurut waris tersebut, adalah bercanggah dengan taklimat yang diberitahu kepadanya oleh pihak hospital bahawa pihak Kementerian Kesihatab Malaysia (KKM) yang akan menguruskan semua urusan pengkebumian jenazah mengikut cara wabak Ebola.

Untuk rekod korban ke-8 Covid-19 berusia 69 tahun itu, pada mulanya dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac 2020 setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac 2020.

Allahyarham telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu pada 18 Mac 2020 setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan, sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 pada jam 4 petang.

Sementara itu Zaini turut mengemukakan operasi stantard prosedur (SOP) yang ditetapkan Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020 yang bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia.

Garis panduan tersebut menyatakan perkara-perkara berikut:

i. Adalah disyorkan jenazah yang disyaki Covid-19 (selepas pemeriksaan fizikal dan prosedur persampelan tidak invasif selepas kematian) hendaklah dilupuskan (ditanam atau dibakar) secepat yang mungkin.

ii. Mencuci mayat tidak disyorkan. Walau bagaimanapun bagi jenazah Muslim, proses persediaan Jenazah seperti memandi dan mengapankan mesti dilakukan di dalam bilik postmortem khas oleh kakitangan perubatan setelah selesai pemeriksaan fizikal.

iii. Pengawetan hendaklah dielakkan.

iv. Jenazah hendaklah dimasukkan ke dalam bodybag dan dimeterai. Aktiviti ini hendaklah dilakukan di bawah pengawasan Inspektor Kesihatan.

v. Penyerahan mayat kepada pihak yang menuntut perlu dilakukan dengan langkah berjaga-jaga yang ketat di bawah pengawasan Inspektor Kesihatan.

vi. Ahli keluarga adalah dilarang daripada membuka bodybag yang dimeteraikan dan Inspektor Kesihatan perlu memastikan bahawa langkah berjaga-jaga ini dipatuhi dengan tegas.

vii. Semua jenazah yang disyaki COVID-19, disyorkan untuk dilakukan pengkebumian atau pembakaran mayat oleh pihak yang menuntut dengan segera, iaitu sebaik-baiknya pada hari yang sama dengan pemeriksaan atau postmortem dilakukan.