Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Niat hulur bantuan terbantut, orang ramai bersesak

Hasrat usahawan produk kecantikan tempatan, Farhana Zahra untuk membantu golongan memerlukan terpaksa dibatalkan apabila orang ramai berkumpul di ibu pejabatnya di Tumpat, Kelantan.

Menurut Farhana sumbangan tersebut menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 300 orang rakyat Kelantan yang terjejas dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Syarat untuk datang ambil bantuan mestilah orang tidak berkemampuan, tiada duit simpanan, terpaksa cuti kerja tanpa gaji serta bekalan makanan kehabisan dan tiada duit untuk membeli.

“Bukan untuk yang hendak simpan stok,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Farhana turut menjelaskan beliau telah mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dengan syarat bantuan tersebut diagihkan dengan cara pandu lalu.

“Sewaktu datang untuk ambil bantuan, tidak dibenarkan untuk turun dari kenderaan masing-masing dan hanya seorang pemandu sahaja, wajib pakai topeng muka dan tidak boleh berkumpul atau berborak satu sama lain,” katanya.

Satu rakaman video tentang cara untuk mengambil bantuan turut disertakan dalam hantarannya di Facebook yang mengumumkan agihan bantuan tersebut.

Namun, orang ramai sudah dilihat berkumpul di hadapan ibu pejabatnya seawal jam 12 tengah hari dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Pembahagian dihentikan serta merta sebab tidak mendengar arahan.

“Sebuah rumah datang sampai empat hingga lima motor. Arahan polis dan rela pun tak dengar,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Farhana turut berkata niat asalnya untuk membantu telah menjadi susah kerana beliau perlu ke balai polis berdekatan untuk memberikan kenyataan.

Farhana kemudiannya memohon maaf kepada semua kerana menyebabkan orang ramai berkumpul sewaktu perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa.

“Apa pun, maaf lah. Benda diluar jangkaan. Selepas ini memang saya takkan agihkan bantuan macam ini. 

"Duit kita akan salurkan seperti biasa seperti yang kita sudah buat sebelum ini,” ucapnya.

Perintah kawalan pergerakan ini akan berlangsung selama dua minggu, bermula pada 18 Mac hingga 31 Mac.

Sepanjang tempoh itu, orang ramai bukan sahaja perlu mematuhi nasihat untuk "duduk di rumah" tetapi juga menjaga aspek penjarakkan sosial. 

Ini terutamanya ketika berada di tempat terbuka seperti pasar awam dan pasar raya bagi mengekang wabak Covid-19.

Mulai Ahad lalu, kerajaan mengerahkan 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara bagi membantu pihak polis memantau orang ramai supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan itu.

Sehingga kini, dua puluh lapan individu telah ditahan dengan 695 laporan polis telah dibuat sepanjang tempoh sekatan ini berlangsung.