Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Azmin ketuai pasukan petugas khas jaga bekalan makanan'

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali akan mengetuai pasukan petugas khas bagi melindungi rantaian bekalan makanan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail yang juga menteri kanan berkata, pasukan petugas itu juga akan merangkumi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Satu pasukan petugas khas dipengerusikan Menteri Kanan MITI (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) diwujudkan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan (rantaian) tidak putus.

"Jawatankuasa (pasukan petugas khas) bukan saja akan membincangkan soal bekalan tetapi jaringan (bekalan makanan)," kata Ismail.

Katanya lagi, pasukan itu antara lain bukan saja akan memastikan barangan keperluan seperti ikan dan sayur dapat diperolehi, tetapi penghantarannya dibuat tanpa halangan.

"(Pasukan petugas) akan memastikan kebersambungan dan tiada gangguan (bekalan makanan) dari ladang kepada pengguna," katanya lagi.

Semalam, syarikat pengangkutan dan penghantaran kargo dilaporkan meminta penjelasan berkenaan tindakan penguatkuasaan yang tidak konsisten.

Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) berkata, berlaku kekeliruan di kalangan pembekal gudang dan perkhidmatan pengangkutan dan penjelasan perlu diberikan sama ada perkhidmatan logistik termasuk dalam perkhidmatan penting, yang dibenarkan terus beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, atau tidak.

Kegiatan ekonomi dalam negara hampir tergendala susulan penguatkuasaan perintah itu sejak 18 Mac.

Di bawah perintah itu, perkhidmatan dan perniagaan tidak penting diarah berhenti operasi manakala orang ramai tidak digalakkan keluar rumah selain atas beberapa urusan penting.

Perintah itu berakhir 31 Mac tetapi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tidak menolak ia boleh dilanjutkan.

Setakat ini, sejumlah 15 warga Malaysia telah meninggal dunia akibat wabak Covid-19.