Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lebih 100 peserta himpunan tabligh Makassar kembali ke Malaysia

Seramai 107 rakyat Malaysia yang pulang dari Sulawesi, Indonesia telah kembali ke negara ini sejak lima hari lalu.

Mereka antara ribuan yang hadir di Gowa, Makassar untuk menyertai perhimpunan tabligh antarabangsa yang kini telah ditangguhkan.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pentadbir Gowa, Adnan Puricha Ichsan masih terdapat 20 rakyat Malaysia yang dikuarantin di sebuah hotel di Makassar.

“Kesemua peserta telah dipindahkan daripada tempat perhimpunan ke tempat kuarantin.

“Mereka akan kekal berada di tempat kuarantin sehingga hari yang dijadualkan untuk mereka pulang (ke Malaysia),” kata Adnan kepada Malaysiakini hari ini.

Minggu lalu, pihak berkuasa tempatan bertindak menangguhkan Ijtima Dunia 2020 Zon Asia ekoran pandemik Covid-19.

Selain itu, Adnan turut berkata, tarikh pulang adalah berdasarkan tiket pra-tempahan peserta sama ada melalui penerbangan atau laut.

Sehingga hari ini, Adnan juga mengesahkan tiada kes Covid-19 yang dikaitkan dengan himpunan di Makassar.

“Setakat hari ini, belum ada laporan (berkaitan Covid-19), mari kita berdoa, insya-Allah akan kekal begitu (tiada kes),” katanya.

Jumlah 127 rakyat Malaysia yang dikuarantinkan lebih tinggi daripada yang dilaporkan sebelum ini iaitu seramai kira-kira 80 rakyat Malaysia - tidak termasuk mereka yang tiba di Gowa tetapi tidak berjaya menghadiri ijtima tersebut.

Ketika ditanya, Adnan bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai peserta dari Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan ada yang telah pulang ke tanah air termasuk sekumpulan 12 lelaki yang dilaporkan dipintas oleh pihak berkuasa marin tempatan ketika cuba masuk ke perairan Sabah di Tawau pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, kumpulan itu memasuki perairan Sabah melalui bot dari Pulau Nunukan, Kalimantan Utara sebelum ditemui oleh pihak berkuasa negeri dan dikuarantinkan di asrama di Balung, Tawau.

Kesemua mereka tetap dibenarkan masuk ke Sabah meskipun kerajaan negeri telah mengenakan sekatan selama 14 hari bermula Jumaat lalu terhadap semua penduduk Sabah yang menghadiri ijtima berkenaan.

Malaysiakini turut melihat mesej WhatsApp yang difahamkan daripada pejabat pihak berkuasa pelabuhan Sabah - yang dikongsikan oleh komuniti Tabligh Syura Alami di Sabah pada pagi sebelum mereka meninggalkan Indonesia.

[Baca berita asal]