Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PSM gesa k'jaan jelaskan isu bayaran ujian Covid-19 warga asing

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan menjelaskan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mendakwa warga asing akan dikenakan bayaran bagi pemeriksaan Covid-19 di hospital awam.

Pekeliling yang dilaporkan sebelum ini memetik Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah bahawa bayaran terhadap warga asing yang mempunyai kontak rapat pesakit Covid-19 akan dimansuhkan.

"Perkara paling membimbangkan mengenai kenyataan perdana menteri adalah terdapat kekeliruan sama ada pendatang dan warga asing akan dikenakan bayaran.

"PSM gesa penjelasan mengenai perkara ini kerana sebelum ini, jelas dinyatakan bahawa ia percuma," kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan dalam satu kenyataan.

Arutchelvan berkata Muhyiddin, Menteri Kesihatan Adham Baba dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador perlu menjelaskan keperluan untuk disiasat untuk menjalani ujian saringa Covid-19.

"Ini bukan masa untuk menjimatkan kos atau mempunyai dasar diskriminasi. Virus itu menyerang semua tanpa membeza-bezakan," katanya.

Muhyiddin, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini, ditanya pada sidang akhbar sama ada warga asing yang membuat ujian Covid-19 di hospital awam dikenakan bayaran.

"Ya, memang ada kos. Walaupun mereka pergi ke hospital (awam), sebahagian kos itu ditanggung (kerajaan), untuk warganegara sahaja.

"Kalau mereka itu warga asing, mereka terpaksa bayar. Tapi penting mereka buat begitu untuk menjamin mereka tidak menghidapi penyakit itu.

"Lebih baik tampil, kalau tak dirawat akan timbul musibah," kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, portal kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa pekeliling bertarikh 29 Jan mengecualikan bayaran pendaftaran, pemeriksaan, rawatan dan kemasukan ke hospital untuk warga asing yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Sebelum ini, terdapat pihak yang menimbulkan kebimbangan bahawa pekerja asing, terutamanya yang tanpa dokumentasi, akan takut tampil membuat ujian.

Muhyiddin sebelum ini mendedahkan bahawa ujian Covid-19 boleh menelan kos sekitar RM700 seorang.