Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

DBKL guna dron pantau pasar

Wilayah Persekutuan akan memanfaatkan tekonologi dron bagi memantau pematuhan perintah kawalan pergerakan (PKP), terutamanya di kawasan-kawasan sibuk seperti pasar terbuka.

Hal itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan Annuar Musa yang juga adalah menteri wilayah persekutuan.

“Kalau tuan-tuan terlihat dron tebang di kawasan-kawasan tertentu, jangan khuatir, kerana sememangnya dewan bandaraya (di wilayah persekutuan) menggunakan dron untuk memantau terutama kawasan pasar terbuka dan sebagainya yang masih terus beroperasi,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiarkan langsung menerusi Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan tadi.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan pemantauan dapat dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan, terutamanya di bandar raya, memandangkan tidak semua pegawai dapat dikerahkan untuk bergerak ke lokasi.

“Jadi kita guna dron, kita dapat maklumat balas (feedback), dapat visual untuk tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Pagi tadi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga mengumumkan pihaknya akan menggunakan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau pergerakan rakyat secara lebih menyeluruh dalam tempoh PKP.

Selain itu, Annuar turut meminta sesetengah pihak agar tidak membuat hantaran-hantaran “nakal” yang mengutuk jemaah tabligh ekoran penularan Covid-19 yang berlaku semasa perhimpunan tabligh antarabangsa di Masjid Sri Petaling, dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Katanya, aktiviti tabligh telah lama berjalan melibatkan kerja-kerja keagamaan dan dakwah yang merupakan perkara baik, selain perhimpunan seumpamanya turut dianjurkan di seluruh dunia.

“Cuma kebetulan pada kali ini sedang berlaku penularan wabak. Dari segi kita, (pihak) kerajaan, tak dapat tidak kita perlu menjejaki mereka yang menghadiri Masjid Sri Petaling beberapa minggu lalu,” katanya.

Oleh hal yang demikian, dia sekali lagi meminta mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu untuk tidak bersembunyi dan tampil membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti, lebih-lebih lagi gejala penyakit itu mengambil masa untuk timbul.

Malah, katanya, tiada apa perlu dibimbangkan jika mereka perlu menjalankan langkah susulan seperti kuarantin di rumah masing-masing.

“Jangan bimbang, (bekas perdana menteri) Dr Mahathir (Mohamad) pun dikuarantin 14 hari sebab dia ada kontak dengan wakil-wakil rakyat tertentu yang positif.

“Jadi kalau kita kena buat kuarantin secara sukarela, itu biasa. Yang penting, kena tampil supaya diri kita, jiran-jiran dan keluarga kita selamat,” katanya lagi.