Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Petugas barisan depan guna 'plastik sampah' buat sendiri sut pelindung

Satu klip video menunjukkan kakitangan hospital menggunakan beg plastik sampah sebagai sut pelindung sementara menjadi tular di media sosial.

Video tersebut yang dipercayai diambil dari sebuah hospital di Kelantan menunjukkan petugas kesihatan di barisan hadapan melawan Covid-19 sedang “mengubah suai” beg plastik tersebut menjadi penutup kepala.

Ia memaparkan dua lelaki- salah seorang daripada mereka mengukur saiz kepala rakannya dan kemudian memotong beg plastik tersebut mengikut kesesuaian kepala rakan berkenaan.

Tujuannya? Ia jadi pakaian sementara untuk melindungi kakitangan tersebut daripada dijangkiti virus yang boleh membawa maut itu.

Selepas beg plastik itu dipotong dan dipakai, seorang lagi lelaki kemudian memakai topi pelindung bagi memastikan kepalanya dilindungi dengan sempurna.

Klip video itu secara tidak langsung mengejutkan netizen kerana ia menunjukkan kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk pekerja kesihatan.

“Walaupun usaha ini sangat mengagumkan, (tetapi) kita tidak mahu kerajaan menangguhkan bekalan sut PPE kepada barisan hadapan kakitangan kesihatan.

“Jangan kompromi dengan keselamatan kakitangan perubatan kami yang menggunakan plastik beg yang tidak mempunyai fungsi sama seperti sut PPE,” kata Rahah Ghazali.

Seorang lagi netizen berpendapat klip video berkenaan sebagai sesuatu yang tidak wajar berlaku memandangkan negara bukan dalam keadaan darurat akibat perang.

“Ia sangat memalukan apabila petugas kesihatan yang merupakan barisan hadapan berada dalam serba kekurangan. Kita bukan dalam perang,” kata K Krishnamurthy.

Conan4thepeople pula berkata: “Sangat menyedihkan pekerja perubatan tidak mempunyai alat pelindungan yang betul dan mencukupi.”

Salah seorang netizen pula mempersoalkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin: “Mengapa ini berlaku? PM kata bekalah mencukupi?"

Sebelum ini dilaporkan, sebanyak 32 hospital kerajaan dan hospital universiti dijadikan sebagai hospital rawatan Covid-19.

Kementerian Kesihatan berkata terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara bersedia untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

[Baca berita asal]