Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KKM akan lantik 2,000 kakitangan kontrak, khususnya jururawat

  • Dikemas kini dengan peruntukan tambahan RM500 juta kepada KKM bagi membiayai pembelian peralatan perubatan.

Peruntukan sebanyak RM100 juta akan disediakan buat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melantik 2,000 kakitangan baru secara kontrak, khususnya jururawat, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jelasnnya, ini bagi mengurangkan beban jururawat dan staf perubatan yang keletihan kerana terpaksa bekerja lebih masa bagi merawat pesakit Covid-19.

“Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.

“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera 5 supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak Covid-19,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan bahawa terdapat 123 kes positif Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes.

Satu kematian baru hari ini turut menjadikan jumlah korban akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 11 orang.

RM500 juta untuk peralatan perubatan

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak sebanyak RM500 juta kepada KKM bagi membiayai pembelian peralatan perubatan.

“Peruntukan ini antara lainnya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

“Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat,” katanya lagi selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi.

Untuk rekod, pada 19 Mac lalu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM160 juta, kepada KKM untuk disalurkan kepada 26 hospital di negara ini, bagi menangani gelombang kedua wabak Covid-19.