Ia belum selesai, kata Dr M
Daripada renungan mata itu, saya dapat merasai kesedihan yang terbuku di hatinya. Beliau terluka dengan pengkhianatan yang berlaku.
Pada usia 95 tahun, saya fikir beliau tentu mengalami pengkhianatan berkali-kali dan tidak akan terkesan dengan apa yang sedang dilalui sekarang.
Walaupun cuba untuk disembunyikan, saya dapat merasai bahawa Dr Mahathir Mohamad terkesan dengan apa yang terjadi dan beliau sedang kesedihan.
Seperti biasa, beliau duduk di atas kerusi dengan tegak, tidak membongkok ataupun menggerak-gerakkan badannya.
Walaupun saya berasakan hatinya sedang menanggung pilu, kelihatan wajahnya - dan keseluruhan tindak-tanduknya - menggambarkan beliau sebagai seorang yang sedang memperjuangkan sesuatu misi.
Mungkin sebab perasan saya sedang merasai bahawa beliau kesedihan, Tun dengan cepat bertanya: "Kenapa kamu tak datang dengan pemimpin-pemimpin Amanah yang lain tempoh hari?"
Memang dua hari lepas ada lawatan oleh lima pimpinan utama Amanah dan saya tidak ada bersama mereka. Sedar juga dia bahawa saya tidak bersama.
"Takkan Mahathir rindu aku?" saya terfikir.
Ketawa bersama-sama
Saya senyum dan sambil perlahan-lahan berpaling saya menjawab: "Mereka tak menjemput saya bersama!"
Tun kelihatan terkejut. Sambil tersenyum simpul beliau meletakkan fail yang dipegangnya lalu bertanya: "Mengapa? Bukankah kamu juga salah seorang pemimpin tertinggi mereka?"
Sekali lagi saya tersenyum. Saya berasakan inilah peluangnya untuk melawak dan membuatkan lelaki tua ini ketawa.
Sambil memandang tepat ke wajahnya, saya berkata: "Saya rasa mungkin mereka fikir Tun tidak mahu bertemu dengan saya" dan saya tertawa kecil. Beliau sekadar tersengeh.
"Kenapa begitu?" tanya beliau lagi, sedangkan saya yakin dia cukup mengetahui bahawa saya dilaporkan membuat kenyataan yang tidak disenangi beberapa hari sebelum itu.
"Oh, macam yang Tun tahu, saya ni terlalu banyak bercakap dan malangnya apa yang dilaporkan berbeza dengan apa yang dikatakan.
"Saya dilaporkan meminta Tun letak jawatan, dua hari selepas Tun sendiri letak jawatan!"
Dan kami ketawa bersama-sama.
Ianya berlaku pada Khamis, 12 Mac lalu, kira-kira jam 11.05 pagi di pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Saya membuat temu janji untuk bertemu dengan beliau memandangkan saya dijadualkan memberi ceramah dalam FB Live atas jemputan Kelab Inspirasiku Mahathir pada jam 9 malam nanti.
Saya mahu jelas tentang beberapa pandangan beliau agar sekiranya moderator bertanya tentang apa yang saya fikirkan mengenai Mahathir sebagai individu dan sebagai seorang pemimpin. Saya ingin cuba untuk memahami personaliti ini.
Saya pergi bertemu Tun bersama dengan mantan setiausaha politik saya yang juga ketua Amanah Shah Alam, Azli Yusof. Dia menjadi pemimpin Amanah Shah Alam sejak 2015 dan pernah menjadi Yang Dipertua PAS Shah Alam sebelumnya.
Sudah 30 minit kami bersama Tun. Hanya kami bertiga saja. Sepanjang tempoh itu Azli berdiam diri hampir sepanjang masa. Ianya bagaikan sesi hati ke hati, sesi bicara tanpa halangan dan saya tanyakan soalan-soalan yang saya percaya ramai tidak sanggup tanya.
Soalan berterus-terang, tajam tanpa selindung, tetapi masih sopan.
Ketika kami mula-mula masuk ke bilik Tun, kami menghulurkan tangan untuk bersalam seperti biasa, namun dengan cepat Tun membuat isyarat Namaste dengan tangannya. Kami turut melakukan perkara yang sama, sambil mengakui kebenaran dalam kata-kata Tun.
"Isu virus Corona ini perkara yang serius," katanya.
Dan kami duduk di depan meja beliau yang seperti biasa penuh dengan surat dan fail.
Mahu Melayu bebas dari rasuah
Selepas perbualan ringkas seperti yang di atas, saya mula mengemukakan beberapa soalan. Banyak soalan yang ditanya, tetapi saya tidak akan mendedahkan semuanya kali ini.
Cuma apa yang saya mahu sampaikan ialah soalan terakhir saya kepada beliau, iaitu: "Apa yang Tun mahu lakukan sekarang?"
Tun menjawab, apa yang dimahukan ialah mendapatkan kembali parti Bersatu yang dirasakannya telah dirampas daripada beliau melalui penipuan dan pengkhianatan.
"Dan apa yang Tun mahu lakukan selepas berjaya dapatkan semula (Bersatu)?" tanya saya lagi kerana melihat kesungguhannya dalam melaksanakan usaha ini.
"Adakah Tun ingin Bersatu kekal dalam PN (Perikatan Nasional) atau menyertai kembali PH (Pakatan Harapan)?"
Beliau diam seketika, mungkin memikirkan bahawa jawapannya sepatutnya jelas. Setelah menghela nafas panjang, Tun menjawab: “Kembali kepada PH”.
Ya, sudah tentu, fikir saya. Demi perjuangan - walaupun sudah berada di peringkat umur yang agak lanjut - beliau masih mahukan sebuah parti politik Melayu yang baru dan bebas daripada gejala rasuah untuk menggantikan Umno.
Bagi Tun, Umno sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Parti itu rosak hasil kedurjanaan Najib Razak dengan falsafahnya, “cash is king”. Bersatu sepatutnya menjadi platform baru yang akan hanya menerima pemimpin-pemimpin Umno yang bebas daripada rasuah.
Bagi pemimpin yang korup, mereka sepatutnya dibiarkan mereput bersama Umno.
Tetapi untuk itu, Bersatu mestilah berada bersama gabungan yang memerintah sambil Umno kekal sebagai barisan pembangkang.
Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah Azmin Ali mempelawa Muhyiddin Yassin untuk meninggalkan PH dan bergabung dengan Umno serta PAS untuk membentuk PN!
Dan itulah sebabnya - ketika ditanya sebelum itu - Tun berkata Muhyiddin bukan mengkhianati dirinya tetapi mengkhianati perjuangan parti. Ini adalah kerana Bersatu dibentuk dengan objektif yang khusus dan jelas.
Membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk kerajaan PN bersama Umno bermakna matlamat perjuangan parti itu menjadi sia-sia. Dengan keberadaan Umno dalam gabungan parti pemerintah yang sama dengan bilangan kerusi yang lebih banyak berbanding Bersatu, apakah alasan untuk pemimpin Umno meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu?
Secara logiknya, selepas suatu jangka masa yang singkat, kemungkinan yang lebih besar ialah hal sebaliknya akan berlaku. Mereka berada di dalam pakatan yang sama, mengapa perlu mereka meninggalkan Umno?
Enggan jadi batu loncatan
Tun sudah pun mengingatkan Muhyiddin bahawa pada permulaan, pemimpin Umno akan menerima segala syaratnya untuk membentuk pakatan kerajaan PN yang baru, tetapi sebaik saja Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH, dia akan terpaksa tunduk kepada kehendak mereka!
Ternyata ramalan Tun benar. Pada hari ini, kerajaan PN dijadikan gabungan, bukan antara parti politik tetapi di antara individu, antara ahli parlimen!
Ini bermakna parti-parti politik itu tidak perlu setia kepada Muhyiddin. Sepantas mana mereka bersama Muhyiddin, sepantas itu jugalah wakil-wakil rakyat ini boleh meninggalkan presiden Bersatu itu. Ia tiada ikatan, tiada janji.
Mereka hanyalah satu gabungan sangat longgar melibatkan sekumpulan individu. Muhyiddin sedang dipergunakan bukan sahaja oleh Najib dan sekutunya, malah lebih-lebih lagi oleh Azmin.
Saya percaya dia orang yang sanggup berbuat apa sahaja untuk tidak dibayangi Anwar sekali gus bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.
Tun sedar akan hakikat itu dan menolak untuk menjadi “batu loncatan” kepada sesiapa pun.
Malangnya Muhyiddin tidak sebijak itu, atau mungkin juga pada pandangannya, ini adalah peluang keemasan untuk beliau menjadi perdana menteri Malaysia.
Cita-cita itu lebih penting daripada perjuangan parti.
Ya, mungkin Muhyiddin bukanlah bodoh atau naif seperti yang difikirkan sesetengah orang, tetapi beliau adalah seorang yang bercita-cita tinggi.
Namun demikian, impian Muhyiddin hanya mengelirukan diri beliau sendiri. Jelas Muhyiddin tidak memahami Tun dan kesungguhannya untuk meninggalkan legasi politik yang boleh dibanggakan rakyat, iaitu sebuah parti politik Melayu baru yang bersih dan bebas rasuah untuk menggantikan Umno.
Bersatu akan mula dipersoal
Atas sebab itulah permohonan maaf Muhyiddin tidak akan dilayani Tun. Bukan Tun yang telah kamu salahi, Muhyiddin! Ianya adalah perjuangan dan matlamat di sebalik segala usaha Tun. Perjuangan yang mendorong Tun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dan anda menjadikan kesemuanya berkecai menjadi debu-debu yang berterbangan!
Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti akan meletakkan Bersatu dalam kedudukan yang sangat lemah lagi merugikan. Mereka perlu berunding dengan Umno dan PAS untuk mendapatkan kerusi sedangkan kedua-dua parti ini mempunyai sejarah yang panjang dan mantap dalam semua kerusi majoriti Melayu.
Sedangkan Bersatu masih baru. Tanpa perjuangan yang khusus dan tersendiri, pengundi Melayu akan mula melihat kekurangan Bersatu dalam barisan kepemimpinannya sambil 'ideologinya' pula turut dilihat sama dengan Umno.
Justifikasi berhubung kewujudan Bersatu akan mula dipersoal.
Pada akhir sesi, saya rasa saya memahami cara pemikiran Tun. Keperluan bagi beliau untuk mendapatkan semula parti beliau itu adalah demi mencapai matlamat perjuangannya semakin jelas.
Baca 'Saya tak mahu dengar orang kata PN kerajaan Melayu Islam'
Bagaimanapun, saya agak sangsi, berapa ramai ahli dalam Bersatu yang benar-benar berkongsi visi parti itu yang mahukan politik Melayu bersih dan bebas rasuah?
Berapa ramai pula yang akan sanggup bersama Tun sehingga tercapai matlamat yang diingini beliau?
Saya melihat jam di tangan yang menunjukkan waktu sudah 11.45 pagi. Saya teringat ada yang sedang menunggu giliran di luar. Mereka sepatutnya berjumpa Tun pada jam 11.30 pagi.
Saya kira, sudah sampai masa untuk kami berundur dari bilik itu.
Dengan itu kami berdiri bagi mengucapkan selamat tinggal dan mengambil foto sebagai kenangan pertemuan dan sesi hati ke hati.
Sebelum beredar, saya mengambil kesempatan menyatakan kepada Tun: "Terima kasih Tun kerana telah melantik saya sebagai Menteri di Kabinet Tun. Meskipun untuk tempoh yang singkat, saya mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan Tun dan mengenali Tun dari perspektif yang berbeza."
Dia kemudian memandang saya, memikirkan kta-kata saya itu sebagai kata-kata perpisahan akhir dan sambil tersenyum dia berkata: "Ia belum selesai".
Saya rasa kami akan bertemu lagi. Dan jika peribadi berusia 95 tahun ini sanggup berhadapan dengan PN, mana mungkin saya tidak?
KHALID SAMAD ialah ahli parlimen Shah Alam, pengarah komunikasi Amanah dan bekas menteri Wilayah Persekutuan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai