Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SPR sahkan akaun Twitter digodam

Akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digodam selama beberapa jam bermula awal pagi semalam sebelum ia disedari kemudian pada tengah hari.

Malaysiakini dimaklumkan mengenai situasi itu oleh seorang warganet, yang memberitahu akaun Twitternya disekat SPR setelah dia membangkitkan tentang aktiviti mencurigakan oleh akaun itu kira-kira jam 3 pagi pada 22 Mac.

“Saya berjaga sampai lepas lewat malam. 

Oleh sebab saya mengaktifkan notifikasi untuk akaun rasmi SPR, saya perasan akaun itu mula membuat ciapan dan balasan-balasan yang pelik, tak ada kaitan dengan SPR.

“Nampaknya, ciapan balasan itu (dibuat) kepada puteri Agong, Tengku Jihan,” kata wartawan bebas Norman Goh kepada Malaysiakini.

Menurut Goh, akaun Twitter dengan nama @sprgovmy itu mula membuat ulang ciap terhadap hantaran-hantaran yang tidak berkaitan, termasuklah ciapan-ciapan berkaitan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah, puteri kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 

Kata Goh, sekatannya hanya ditarik selepas tengah hari apabila SPR dipercayai dapat semula mengawal akaun mereka. Bagaimanapun, ada pengguna lain yang menyatakan akaun mereka terus disekat oleh akaun yang sama.

Dalam satu mesej yang dihantar kepada Goh pada 12.48 tengah hari dan dilihat Malaysiakini, SPR berkata: “Terdapat cubaan log masuk daripada satu pihak yang tidak dikenali. Kami telah berjaya menukar kata laluan.”

Apabila dihubungi, SPR mengesahkan penggodaman itu dan berkata akan menjalankan siasatan dalaman.

“SPR dimaklumkan oleh Goh pada Ahad, 22 Mac, kira-kira jam 12 tengah hari, tentang kegiatan luar biasa oleh akaun Twitter rasmi SPR. Goh dan beberapa pengikut akan Twitter SPR telah disekat oleh seorang individu yang belum dikenal pasti.

“SPR telah mengambil tindakan pantas menukar kata laluan bagi menghentikan penggodaman. Cubaan menggodam oleh individu tidak dikenal pasti ini dikesan (bermula) sejak lewat malam Sabtu (21 Mac).

“SPR akan membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebaik saja siasatan dalaman selesai,” kata jurucakap komunikasi korporat kepada Malaysiakini.

Tambahnya lagi, sekatan terhadap akaun Goh dan beberapa yang lain juga telah ditarik balik.

Ketika artikel ini ditulis, semua hantaran terkini oleh @sprgovmy dibuang. Hantaran terkini yang dapat dilihat adalah satu kenyataan media oleh pengerusi SPR Azhar Azizan Harun pada 28 Februari lalu.

[Baca berita asal]