Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Lakukan ujian saringan besar-besaran macam Australia, Kanada'

Saya menyokong sepenuhnya segala usaha dan keputusan yang diambil Kementerian Kesihatan setakat ini bagi meratakan lengkungan Covid-19 di Malaysia.

Perintah kawalan pergerakan merupakan tindakan yang mustahak dan wajar, namun malangnya kita masih melihat sebahagian rakyat Malaysia tidak mengendahkan perintah ini, sekaligus meletakkan sebahagian yang lain dalam risiko.

Namun di sebalik itu semua, terdapat risiko lebih berbahaya yang tidak terlihat dek mata kasar.

Kita harus menyedari terdapat fakta saintifik yang menyatakan bahawa kemungkinan terdapat sejumlah besar pembawa asimptomatik (tanpa simptom) wabak Covid-19 yang sedang atau telah pun menjangkiti orang lain.

Boleh jadi mereka ini merupakan rakyat Malaysia yang sedang bertugas dalam perkhidmatan penting negara yang secara tidak sengaja mempunyai kontak rapat dengan pelbagai pihak sepanjang tempoh kawalan ini.

Ujian akan membantu mereka yang dijangkiti — khususnya pembawa asimptomatik — untuk menyedari bahawa mereka dijangkiti kerana kebanyakan mereka tidak kekal di rumah dan berisiko menjangkiti orang lain.

Ujian juga penting sebagai satu respon wajar kepada wabak ini. Ia membolehkan kita memahami bagaimana Covid-19 merebak dan mengambil langkah berdasarkan bukti bagi membendung penyebaran lanjut.

Sudah pun terbukti bahawa Ujian Saringan Besar-besaran merupakan kunci bagi menghalang wabak Covid-19.

Berjaya cemerlang meratakan lengkung

Di Malaysia terdapat ujian Covid-19 untuk mereka yang ingin mencuba boleh melakukannya di 11 syarikat dengan makmal seluruh negara. Namun ia memakan kos sekitar RM600 untuk setiap sampel.

Melainkan dikenal pasti sebagai kes sporadik, kes yang disyaki (patient under Investigation atau PUI) atau kontak (mereka yang pernah mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti, menunjukkan simptom-simptom dan baru-baru ini melawat negara-negara terimpak atau insiden kluster) maka anda tidak layak menjalani ujian RM1 Covid-19 yang disubsidi oleh kerajaan.

Kanada dan Australia mempunyai jumlah keseluruhan kes, kes aktif dan kes per juta populasi yang sama dengan Malaysia. Jika dikaji, ia amat mengejutkan kerana Malaysia hanya menjalankan sebanyak 13,876 ujian (terbaru 14,661).

Kanada dan Australia pula menjalankan hampir 10 kali ganda ujian —masing-masing melebihi 113,000. Kedua-dua negara itu diperakui sebagai negara yang berjaya memerangi Covid-19 dengan cemerlang, khususnya dalam meratakan lengkung.

Selain itu juga terdapat kejanggalan antara laporan jumlah ujian di laman web Kementerian Kesihatan dan laporan-laporan 5,000 ujian dilakukan setiap hari di fasiliti-fasiliti terlibat seluruh negara.

Pertanyaan ini jauh sekali daripada berniat jahat, penuh prasangka mahupun menuduh. Sebaliknya, kita hanya mengemukakan permintaan jujur dan berhemat agar perjuangan bersama bagi memerangi wabak ini berjalan secara telus.

Dengan kos RM600 yang membebankan ini, tidak mungkin rakyat biasa mahu atau mampu untuk mendapatkannya. Ini bermakna terdapat sejumlah besar mereka yang telah dijangkiti atau pembawa asimptomatik sedang berkeliaran bebas tanpa menyedari bahaya yang mereka bawa merisikokan orang lain.

Saya dengan ini menyeru Kementerian Kesihatan agar segera mencontohi langkah Korea Selatan, Singapura, United Kingdom, Kanada, Hong Kong, bandar Vo di Itali untuk menjayakan ujian besar-besaran Covid-19.

Kos ujian ini mesti ditanggung oleh kerajaan persekutuan. Kita tidak boleh membiarkan soal kos menjadi penghalang dalam usaha kita menyelamatkan nyawa.

Ini merupakan keputusan politik yang mesti dilaksanakan segera bagi menghalang wabak ini daripada merebak lebih teruk.

Sekarang, inilah satu-satunya keputusan yang akan menentukan kita kalah atau menang dalam memerangi Covid-19 ini.


HOWARD LEE ialah ketua Pemuda DAP Kebangsaan, ahli Jawatankuasa DAP Perak merangkap Adun Pasir Pinji.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.