Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jangkitan peserta himpunan tabligh mungkin dari luar negara

Terdapat kemungkinan wabak Covid-19 dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh diimport dari luar negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

"Perhimpunan tabligh melibatkan 25 buah negara dan kami faham bahawa ... terdapat 695 peserta dari Indonesia, jadi kami bimbang ada kemungkinan penyebaran Covid-19 (dalam kalangan peserta tabligh) mungkin telah diimport dari luar negeri," kata Noor Hisham pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menyedari terdapat kes positif Covid-19 dari kalangan peserta himpunan itu pada 9 Mac ketika rakan sejawatnya di Brunei, memberitahu kepadanya mengenai perkara itu.

"Kami hanya dimaklumkan oleh Brunei pada 9 Mac dan kemudian kami segera mengambil tindakan dan kami mendapati ramai yang positif," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, kementerian telah mengesan 11,000 daripada 14,500 peserta tempatan perhimpunan tabligh itu dan hampir 6,700 daripadanya sudah mengambil ujian saringan.

"Daripada jumlah itu, kes positif hanya 743, yang bermaksud hampir satu per 10 kes disahkan.

"Kami bimbang kerana penularan itu mungkin dalam kalangan ahli-ahli tabligh, jadi kami telah menghubungi para pemimpin perhimpunan tabligh.

"Saya secara peribadi berhubung dengan mereka, kami cuba meyakinkan mereka, menjelaskan kepada mereka isu-isu dan cabaran yang dihadapi dan dengan itu mengharapkan kerjasama penuh semoga mereka sanggup tampil.

"Ini bukan untuk mewujudkan stigma terhadap kumpulan perhimpunan tabligh, tetapi ini adalah berhubung masalah kesihatan (dan) kita perlu mendapat kerjasama mereka agar tampil dan kemudian kita boleh melakukan ujian yang diperlukan," kata Noor Hisham.

Jawatankuasa perhimpunan tabligh itu semalam mendakwa jumlah peserta di perhimpunan itu hanya 12,000 dan bukannya 16,000, dengan 14,500 peserta tempatan dan 1,500 peserta asing.

Bagaimanapun Noor Hisham berkata beliau dimaklumkan dalam perbincangannya dengan jawatankuasa perhimpunan tabligh itu bahawa terdapat sekitar 14,500 peserta tempatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, sasaran kementerian masih untuk menyaring baki peserta tempatan perhimpunan tabligh itu.

KKM hari ini mengumumkan dua kematian terbaru akibat Covid-19, membawa jumlah kematian di Malaysia kepada 10 orang.

Sebanyak 123 kes positif baru setakat 12 tengah hari tadi yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,306 kes di negara ini.