Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

S'gor tangguh akad nikah lepas 5 jurunikah dikuarantin

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangguhkan semua urusan akad nikah di negeri itu selepas lima penolong pendaftar perkahwinannya masih dikuarantin sementara menunggu keputusan saringan Covid-19.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jais akan mengikut jejak langkah seperti di Wilayah Persekutuan Kuala lumpur, Perak dan Sarawak yang menangguhkan urusan akad nikah sehingga tamat tempoh larangan kawalan pergerakan iaitu 31 Mac ini.

“Langkah menangguhkan proses akad nikah sama seperti arahan dikeluarkan di Wilayah Persekutuan, Perak dan Sarawak bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya lapor Selangorkini.

Pada 20 Mac, dilaporkan Jais menangguhkan semua majlis akad nikah di negeri itu selepas beberapa jurunikahnya terpaksa dikuarantin selepas melaksanakan akad nikah.

Menurut Mohd Shahzihan, ia berikutan jurunikah terbabit disyaki ada kontak rapat dengan individu positif Covid-19 semasa proses akad nikah dilakukan.

Pada 17 Mac, Jais mengeluarkan tatacara pelaksanaan majlis akad nikah di Selangor, di mana dalam tatacara berkenaan, akad nikah dilarang sama sekali dilangsungkan di tempat awam seperti masjid dan surau, sebaliknya hendaklah dilangsungkan di premis persendirian.

Akad nikah juga hendaklah dilangsungkan melibatkan hanya 10 pihak, iaitu seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, pengantin lelaki, pengantin perempuan, seorang wali, dua saksi, dua wakil pengantin lelaki dan dua wakil pengantin perempuan.

Bagaimanapun, acara itu sebelum ini tidak boleh melibatkan berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali, pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, dan akad nikah itu juga harus diselesaikan dalam masa tidak lebih 20 minit, termasuk khutbah nikah.