Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

K'jaan perlu tubuh tabung bela mata pencarian rakyat - MTUC

ULASAN | Memandangkan peningkatan jumlah kes positif Covid-19 serta kenaikan ketara bilangan kematian akibatnya di Malaysia, MTUC menjangkakan kerajaan akan mempertingkat dan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (MRO) melangkaui tarikh akhir pada 31 Mac, 2020.

Walaupun langkah pelanjutan MRO itu wajar, namun kami yakin bahawa pembabitan Angkatan Tentera Malaysia dan peningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan mematuhi MRO dapat membendung Covid-19 tetapi pada masa sama pandemik berkenaan akan terus membawa pelbagai tekanan berpanjangan dari kehidupan rakyat.

Justeru, MTUC menggesa kerajaan untuk menggantikan pakej rangsangan ekonomi Covid 19 kepada Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat bagi melindungi mata pencarian semua pekerja di Malaysia yang kebanyakannya berada dalam golongan kategori B40 dan M40, golongan migran dan pekerja perniagaan milikan tunggal, ekonomi gig dan pengusaha IKS.

Memandangkan pandemik Covid-19 bertambah buruk di Malaysia dan terus menjejaskan Eropah, Amerika Syarikat dan rantau lain, kerajaan perlu menyusun semula pendekatan dalam membantu rakyat mengurangkan impak wabak tersebut.

Pakej rangsangan ekonomi tradisional bukanlah penawar untuk menjamin rakyat mengatasi kesukaran disebabkan oleh Covid-19. Apa yang dihadapi negara bukan krisis ekonomi semata-mata.

Tak bantu tampan impak

Sebaliknya, ia adalah pandemik global yang mengancam nyawa setiap manusia. Justeru keutamaan adalah untuk melindungi nyawa rakyat dan bukannya memberi tumpuan kepada pakej rangsangan ekonomi seperti masa-masa lalu.

Langkah menyalurkan beratus-ratus juta ringgit ke dalam sektor terpilih dalam ekonomi tidak boleh dijadikan teras pendekatan kerajaan untuk membantu rakyat mahu pun menampan impak ekonomi akibat Covid-19.

Sehubungan itu, MTUC menggesa kerajaan untuk beralih daripada sekadar menambah baik pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion itu kepada mengambil pendekatan berani dengan menubuhkan Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat yang secara langsung memberi impak kepada rakyat, khususnya golongan pekerja.

Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat yang dicadangkan ini penting bagi memastikan kelangsungan rakyat yang berdepan krisis ekonomi dan kesihatan awam akibat Covid-19 itu.

Keutamaan segera tabung ini adalah memastikan bahawa pekerja tidak mengalami sebarang kerugian atau kehilangan faedah sekiranya MRO itu dilanjutkan melangkaui 31 Mac ini.

Fokus jangka panjang tabung itu yang melangkaui daripada tarikh penamatan MRO, adalah memastikan bahawa orang awam, khususnya pekerja B40 dan M40, pengusaha IKS, pekerja ekonomi gig, golongan migran, dan pekerja sektor informal mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan pendapatan berterusan serta mapan bagi menyokong keluarga masing-masing.

Langkah menyalurkan berbilion-bilion ringgit dalam program bantuan tertentu menerusi Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat akan membolehkan kerajaan menyelamatkan rakyat daripada menambah beban hutang isi rumah dan memastikan mereka cukup makan minum serta mempunyai penginapan ketika ekonomi negara diperkukuhkan semula.

MTUC bukanlah mencadangkan bahawa sektor penting ekonomi yang terjejas teruk akibat Covid-19 itu dikecualikan daripada bantuan kerajaan. Mereka sememangnya memerlukan bantuan, namun keperluan mereka itu tidak harus mengatasi kepentingan membela mata pencarian rakyat.

Bersandarkan hujah ini inilah MTUC secara tegasnya menyarankan pakej rangsangan ekonomi diganti dengan Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat untuk menangani keperitan rakyat sebagai fokus utama dan hanya selepas itu, disusuli keperluan fiskal industri yang terjejas akibat Covid-19.

MTUC memuji tindakan pantas menteri sumber manusia baru, M Saravanan kerana mempengerusikan mesyuarat Jumaat lepas antara MTUC, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan nasib pekerja dan majikan.

Susulan itu, MTUC menggesa cadangan-cadangan berikut dipersetujui oleh kerajaan dan majikan untuk diterapkan dalam Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat:

Pekerja tidak dinafikan upah/ pendapatan

Majikan harus telus dan mengemukakan bukti sebarang ketidakupayaan untuk membayar gaji pekerja. Hanya mereka yang berbuat demikian layak diberi bantuan Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat untuk membolehkan mereka membayar gaji pekerja. Pekerja dalam sektor tidak formal dan perniagaan milikan tunggal yang terjejas harus dibayar terus oleh pihak kerajaan.

Pekerja tidak akan diberhentikan

Kerajaan harus menggubal dan melaksanakan perintah kecemasan mengenai jaminan pekerjaan semasa negara dalam krisis dan sesiapa yang engkar perintah itu didakwa di mahkamah.

Kawal harga barang keperluan

Kerajaan mengawal harga makanan dan lain-lain keperluan penting isi rumah rakyat Malaysia. Kerajaan juga menyediakan potongan 50 peratus ke atas bil air dan elektrik untuk isi rumah golongan marhaen .

Tangguh bayaran balik pinjaman rumah kerajaan

Bahagian Pinjaman Perumahan Kerajaan perlu meneladani tindakan bank-bank dan institusi kewangan lain dengan menangguhkan pembayaran balik pinjaman selama 6 bulan.

Langkah ini akan menyediakan lebih banyak kecairan atau mudah tunai dalam pasaran selain membantu memastikan peminjam mempunyai wang secukupnya untuk keperluan asas mereka.

KWSP, Perkeso tangguh projek bukan keutamaan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) juga perlu terbabit secara aktif bagi membantu para pekerja memenuhi perbelanjaan bulanan mereka.

Perkeso dan KWSP perlu menangguhkan projek-projek bukan keutamaan bagi menawarkan bantuan kewangan untuk pekerja seperti memberi pinjaman tanpa faedah.

Salah satu contoh projek bukan keutamaan ialah pembangunan pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta di Ipoh, Perak. Peruntukan ini sebaliknya dapat dimanfaatkan untuk membantu kelangsungan pekerja yang mengalami kekurangan pendapatan mendadak.

Peruntukan kementerian salur ke tabung rakyat

Peruntukan dalam Bajet 2020 untuk kementerian-kementerian harus disalurkan kepada Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat, khususnya peruntukan untuk projek yang tidak menjadi keutamaan pada waktu ini.

Akhir kata, dengan beralih kepada Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat daripada sekadar menambah baik pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion itu, kerajaan baru ini akan dapat memaparkan keikhlasannya memperjuang dan membela kebajikan rakyat.

Justeru, MTUC yakin kerajaan akan mempertimbangkan hujah-hujan kukuh cadangan kami ini.

MTUC juga bersedia membincangkan butiran penubuhan Tabung Membela Mata Pencarian Rakyat secara lebih terperinci dengan pihak kerajaan.


J SOLOMON ialah Setiausaha Agung MTUC.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.