Lori rempuh sekatan jalan, 4 polis cedera
Empat anggota polis trafik, termasuk pegawai kanan cedera apabila sebuah lori merempuh sekatan jalan bagi memantau perintah kawalan pergerakan di Kuala Lumpur tengah malam tadi.
Pada kejadian jam 12.45 malam tadi itu, seorang pemandu lori berusia 45 tahun kehilangan kawalan pada laluan sebelah kiri dan melanggar empat anggota polis tersebut yang ketika itu sedang mengemas sekatan di Jalan Syed Putra.
Mangsa dikenal pasti sebagai Afifi Zulhusni Mohd Ali, Hairulnizam, Wan Kamarul Ariffin, Mohd Afendi, dan Azri.
Afifi cedera di kaki, Hairulnizam, Wan Kamarul dan Azri di bahagian tangan, manakala Mohd Afendi cedera di kepala, bahu dan kaki.
Ketua Polis Kuala Lumpur Zulkefly Yahya berkata mangsa dalam keadaan stabil dan akan dikeluarkan dari wad selepas rawatan di Hospital KL.
Pemandu lori itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan sedang disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.
Dua kereta peronda dan motosikal polis rosak dalam kejadian itu.
Polis mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara bagi memastikan orang ramai mematuhi perintah kawalan pergerakan dalam usaha kerajaan membendung penularan Covid-19.
Perintah itu berkuat kuasa dari 18 Mac ke 31 Mac yang mana orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah dan perlu mengelakkan aktiviti sosial sepanjang tempoh berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai