Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri galak pasar raya periksa suhu badan pelanggan

Pasar raya di seluruh negara digalakkan untuk melakukan pemeriksaan suhu badan kepada setiap pelanggan sebelum memasuki premisnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu perlu bagi usaha mengekang wabak Covid-19, dalam tempoh dua minggu perintah kawalan pergerakan.

"Sebenarnya, (pemeriksaan suhu badan pelanggan sebelum masuk pasar raya) adalah sangat digalakkan untuk kepentingan semua orang.

"Sesetengah pasar raya tidak melakukannya, lebih baik mereka berbuat demikian. Ini hanya arahan umum dari kementerian supaya sama-sama kita mainkan peranan dalam menangani Covid-19, "katanya ketika diminta mengulas keperluan pasar raya membuat pemeriksaan suhu badan terhadap pelanggan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan pemain industri di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee menghabiskan masa lebih dua jam berbincang berkenaan isu semasa yang dihadapi pemain industri dalam menghadapi perintah kawalan pergerakan.

Mengulas lanjut tentang keperluan saringan suhu badan pelanggan, Nanta berkata saranan tersebut adalah sebagai galakan untuk sama-sama membendung penularan wabak Covid-19.

"Tidak ada penguatkuasaan terhadap ini, kami (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri) menguatkuasakan dari segi barangan. Itulah sebabnya saya menggalakkan pasar raya untuk melakukannya (pemeriksaan suhu badan), kerana ini juga untuk faedah kakitangan mereka," katanya.

Mengulas tentang perbincangan dengan pemain industri, Nanta berkata ia antara lain menyentuh inisiatif yang dijalankan oleh peniaga untuk membendung penyebaran wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan menghargai inisiatif yang dimainkan para pemain industri seperti pasar raya yang mengamalkan penjarakkan sosial kepada pelanggan di setiap kaunter bayaran.

Beliau berkata kementerian juga menasihatkan pemilik pasar raya untuk memastikan kebersihan troli mereka dengan membersihkannya secara berterusan, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mengekang virus tersebut di seluruh negara.

Nanta berkata beliau dan Kiandee juga menggesa pemain industri dalam sektor peruncitan untuk memastikan bekalan barangan mencukupi bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan, yang bermula dari 18 Mac sehingga 31 Mac.