Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Selangor umum pakej ransangan, bantuan RM200 buat petugas perubatan

Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan insentif sebanyak RM200 serta bantuan makanan kepada semua kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam operasi Covid-19 di seluruh hospital negeri tersebut.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata demikian sebagai salah satu inisiatif yang dilaksanakan dalam pakej rangsangan yang dikenali sebagai Pakej Selangor Prihatin.

“Kerajaan negeri menginsafi betapa petugas-petugas kesihatan bertungkus lumus berkhidmat dan ada di antara mereka terus bertugas tanpa cuti dihimpit kemelut wabak ini.

"Oleh yang demikian, pentadbiran ini meluluskan satu insentif sebanyak RM200 dan juga bantuan makanan semasa bertugas kepada 6,000 petugas yang dikenal pasti terlibat di hospital-hospital seluruh Selangor.

“Bantuan makanan ini akan berterusan sehingga 31 Mac 2020. Peruntukan ini berjumlah RM1.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain petugas, bantuan sebanyak RM200 turut diberikan kepada 2,500 mahasiswa Selangor yang kini belajar di Sabah dan Sarawak – yang terpaksa tinggal di universiti susulan perintah pergerakan kawalan-.

Tambahnya, Program Makanan Percuma juga akan diberikan kepada pelajar Selangor -yang terpaksa kekal di kampus masing-masing- khususnya di Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Industri Pendidikan Negeri Selangor bermula 22 hingga 31 Mac ini

Semalam, Kementerian Kesihatan mengumumkan 110 kes positif Covid-19 baru, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 900 kes.

Negeri Selangor juga mencatatkan jumlah tertinggi pesakit positif yang dijangkiti wabak tersebut iaitu sebanyak 223 kes.

Sementara itu, dalam pakej ransangan berikut, bantuan turut diberikan kepada penjaja dan peniaga berlesen.

“Pengecualian sewa akan diberikan kepada 80,000 penjaja dan peniaga berlesen dalam premis bagi meringankan beban akibat kehilangan punca pendapatan utama RM12 juta.

“Turut disediakan adalah pemberian khas sebanyak RM500 bagi melancarkan aliran tunai masing-masing,” katanya.

Tambahnya, penangguhan bayaran balik sebanyak tiga bulan ansuran juga diberikan kepada usahawan skim Hijrah Selangor dan peserta Skim Smart Sewa.

Malah, kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai tanah/ petak selama sebulan.

“Kerajaan negeri akan mencuba sebaik mungkin bagi meringankan beban rakyat serta menampan (cushion) derita kewangan mereka yang terkesan.

“Kerajaan negeri prihatin dan bersedia mendengar sebarang cadangan untuk menambah baik perbelanjaan fiskal negeri demi kemaslahatan rakyat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor telah mewujudkan satu pasukan khas - yang diketuai bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad bagi membendung ancaman wabak tersebut.