Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan harap China akan bantu M'sia

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata pihak luar seperti China dialu-alukan untuk membantu Malaysia sekiranya negara itu mengalami penurunan dalam kes jangkitan Covid-19.

Adham berkata, bantuan boleh dihulurkan khususnya dalam membekalkan cecair pembasmi kuman, topeng muka, serta keperluan lain dalam menangani wabak berkenaan.

"Kalau di China pun telah mengurang, wabak yang ditularkan, mereka mungkin boleh deploy aset-aset yang mereka tak pakai itu.

"Kita kena berhubung dengan pihak Wisma Putra dan Kementerian Luar negara China supaya mereka yang bertanggungjawab selama ini dalam mengeksport Covid-19 ini ke negara luar, adalah satu tanggungjawab sosial terbesar dalam dunia, yang mungkin boleh beri (bantuan) kepada kita," tambahnya dalam satu temu bual dengan TV1.

China menghulurkan bantuan pertama peralatan perubatan yang kini dalam proses penghantaran ke Hospital Sungai Buloh bagi menangani penularan Covid-19.

Negara itu hari ini buat kali pertama mengesahkan tidak ada kes domestik baru selepas wabak Covid-19 menular di negara itu sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, kes import bagi Covid-19 dilaporkan terus meningkat.

Sementara itu, Adham merayu orang ramai mematuhi segala arahan yang dikeluarkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini.

"Hari ini kita terus memberi panduan kepada masyarakat. Ikutilah, dan kita yakin akan dapat satu flatten atau plateau sebelum ia menurun," jelasnya.

Jelas Adham, virus Covid-19 ini 'gemar' kepada manusia dan akan hidup dalam badan manusia, lebih-lebih lagi yang lemah sistem imunisasi badan.

"Virus ini kalau di luar ia tak boleh hidup, jadi ia perlukan manusia sebagai tuan rumah dan tuan rumah ini kalau dia lemah, tidak kuat, yang sistem daya tahan badan dia lemah dia (akan dijangkiti) lebih cepat, berbanding yang tidak.

"Sebab itu kita kena sihat dan patuhi arahan duduk di rumah 14 hari, saya rasa lebih sihatlah. Lebih banyak tenang," katanya.

Sehingga hari ini, dua kematian akibat Covid-19 dicatatkan di negara ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 900 kes.

Daripada 110 kes terbaru, 63 kes mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur.