Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Tak ada orang main golf, tak berasaplah dapur'

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak semalam bagi membendung penularan wabak Covid-19, antara lain menetapkan agar kebanyakan perniagaan dan perkhidmatan ditutup sementara.

Ini bermakna akan ada pihak yang hilang punca pendapatan, dan boleh dikatakan golongan B40 akan lebih merasai kesannya.

Semalam, seorang pengguna Facebook berkongsi pengalamannya menemui seorang lelaki yang meminta pertolongan untuk mendapatkan makanan.

Dalam hantarannya, Fadamir Saad, seorang pemilik kedai aksesori telefon bimbit, menceritakan bagaimana seorang pelanggannya meminta sekampit beras daripadanya.

Kata Fadamir yang juga anggota jawatankuasa Pertubuhan Dana Kita, pelanggannya itu tinggal di Puncak Alam dan menyatakan hasrat untuk ke Gombak, tempat tinggal Fadamir, untuk mengambil beras tersebut.


BacaApa yang diperlukan rakyat marhaen ketika ini


"Kebetulan saya ingin berjumpa orang di Puncak Alam, jadi saya ke sana dan berjumpa di rumahnya,” katanya yang bertemu dengan pelanggannya itu semalam.

Selepas bertemu, dia mendapat tahu bahawa lelaki itu bekerja sebagai kedi di sebuah padang golf, yang kini ditutup susulan perintah kawalan pergerakan.

“Ada kerja dapatlah duit sikit belanja. Kalau tak ada orang main golf maka tak berasap lah dapur,” kata pelanggannya itu, seperti diceritakan oleh Fadamir.

Kata Fadamir, pelanggannya itu kini berdepan kesukaran untuk membayar sewa rumah dan membeli keperluan makanan.

Justeru, katanya lagi, dia membawa pelanggannya itu ke sebuah kedai untuk mendapatkan bekalan makanan untuk dirinya dan keluarga sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Katanya lagi, dia merasa sebak apabila melihat lelaki itu berkira-kira untuk mengambil makanan yang dilihat sebagai mahal, antaranya paket Nescafe.

"Saya terus ambil barang itu di tangan dia dan letakkan di kaunter," katanya.

Mengimbas kejadian itu, Fadamir berkata betapa golongan berpendapatan rendah merupakan kumpulan paling awal yang menerima tempias daripada krisis yang berlaku.

"Sebab itu saya harap kawalan pergerakan ini cepat-cepat tamat. Apabila ia berlaku, insan seperti saudara ini yang mula terasa tempiasnya," katanya lagi.

Untuk membolehkan keadaan kembali seperti biasa, katanya, semua pihak haruslah memainkan peranan dengan mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara bagi menangani penularan wabak Covid-19, dan mengelakkan tindakan "mementingkan diri" seperti membuat pembelian panik yang boleh menyebabkan wabak itu terus menular.

Pada 27 Feb lalu, Dr Mahathir Mohamad ketika berkhidmat sebagai perdana menteri interim mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion untuk membantu negara berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat langkah tambahan terhadap pakej itu, ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19.

Ia melibatkan bantuan tunai bulanan kepada pekerja berpendapatan bawah RM4,000 yang terpaksa bercuti tanpa gaji, diskaun caj elektrik, pembayaran awal Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020.

Setakat hari ini, Malaysia mencatatkan 900 kes positif Covid-19 dengan dua kematian.